Kategori:Artikel
 Kemunculan tahun 2005 yang membuka tirai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) akan menerbitkan sinar baru kepada rakyat Terengganu setelah mereka memilih Barisan Nasional (BN) memerintah semula negeri ini, pada pilihan raya umum lalu. Sebagai hadiah kepada rakyat Terengganu yang memilih BN untuk menerajui pemerintahan negeri ini, kerajaan negeri pimpinan YAB Dato’ Seri Idris Jusoh telah merangka Rancangan Lima Tahun Pembangunan Negeri Terengganu (RPNT). Sejajar dengan matlamat itu, Menteri Besar membentangkan Bajet 2005 yang bertema “Mencipta Kegemilangan” bagi melaksanakan pelbagai program dan kemudahan yang menguntungkan semua pihak, khususnya rakyat Terengganu. Bajet 2005 yang menyediakan peruntukan berjumlah RM1.24 bilion merupakan satu belanjawan realistik dan seimbang, bukan bersifat angan-angan sepertimana bajet terdahulu sepanjang 2001 hingga 2004 yang disediakan kerajaan Pas. Empat strategi dirangka untuk memastikan jangkaan perbelanjaan mengikut pungutan hasil yang bakal diperolehi kerajaan meliputi aspek meningkatkan usaha pembangunan berfokuskan insan (human touch) dan sumber keupayaan manusia (human capital) sebagai pemangkin pertumbuhan. Manakala strategi kedua, meningkatkan keupayaan pengurusan sektor awam melalui keberkesanan sistem penyampaian dan kemampuan daya saing. Strategi ketiga ialah dengan mempercepatklan usaha pelaksanaan projek infra dan infostruktur yang strategik bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Meneroka bidang ekonomi baru dengan nilai tambah tinggi menjadi strategi keempat bagi memastikan pendapatan negeri bertambah dengan kadar lebih tinggi. Bagi tahun 2005, kerajaan negeri mengjangkakan pungutan hasil RM1.24 bilion meliputi RM46.56 juta atau 3.75 peratus adalah Hasil Cukai dan RM97.22 juta atau 7.83 peratus adalah Hasil Bukan Cukai. Sementara RM1.09 bilion (88.42 peratus) adalah Terimaan Bukan Hasil dan RM1 bilion merupakan hasil yang diterima daripada Dana Khas Persekutuan. Dana Khas Persekutuan yang digembar-gemburkan akan dihentikan oleh pemimpin Pas dan pengikut mereka sebelum ini, akan diteruskan pada tahun akan datang. Ini jelas terbukti apabila rakyat miskin di negeri ini terus menikmati pemberian RM300 seorang sewaktu umat Islam menyambut Aidilfitri bulan lalu. Daripada keseluruhan bajet yang dibentangkan, di bawah Perbelanjaan Bekalan, RM185 juta adalah untuk Emolumen, RM103.9 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM80.2 juta untuk Aset, Rm809.1 juta untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan Rm0.5 juta untuk lain-lain Perbelanjaan. Keseluruhan jumlah anggaran hasil 2005 meningkat sebanyak 9.42 peratus daripada anggaran hasil 2004. Kesimpulannya, Bajet 2005 jelas membuktikan terdapat keseimbangan dari segi pendapatan hasil dan perbelanjaan dan juga tumpuan aspek fizikal dan insani sebagaimana yang terkandung dalam empat strategi yang digariskan. Tumpuan terhadap pembangunan berfokuskan insan dan usaha-usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi Negeri melalui perbelanjaan sektor awam dalam projekprojek infrastruktur perdana. Malahan, penekanan juga diberikan kepada keberkesanan sistem penyampaian kerajaan dan penerokaan sumber ekonomi baru yang mempunyai nilai tambah tinggi. Keprihatianan dan ‘cakna’ kerajaan negeri juga terserlah kerana pelbagai usaha pembasmian kemiskinan dan pembelaan terhadap orang miskin dan golongan susah diatur bagi memastikan semua rakyat tanpa mengira fahaman dan warna kulit mendapat hak. Daripada keseluruhan bajet yang dibentangkan, di bawah Perbelanjaan Bekalan, RM185 juta adalah untuk Emolumen, RM103.9 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM80.2 juta untuk Aset, Rm809.1 juta untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan Rm0.5 juta untuk Lain-lain Perbelanjaan. Yang pasti, rakyat Terengganu akan terus senang kerana kebijaksanaan mereka memilih BN memerintah negeri ini.
Lampiran:Tiada rekod