Kategori:Keratan Akhbar
 

KUALA TERENGGANU 25 April - Kerajaan Terengganu meluluskan peruntukan RM2.8 juta bagi membina tujuh lagi Pusat Permata Negara di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita negeri, Asha'ari Idris berkata, ia sebagai tambahan kepada hanya sebuah Pusat Permata Negara yang diwujudkan Kerajaan Pusat di negeri ini.

"Kerajaan Pusat hanya membina sebuah Pusat Permata Negara di setiap negeri termasuk Terengganu tetapi dengan inisiatif kerajaan negeri, kita bersetuju menubuhkan tujuh lagi pusat sedemikian.

"Ia sebagai sumbangan kerajaan negeri dalam membantu proses pengembangan awal kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Kursus Pendidik Permata Negara peringkat negeri Terengganu di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustafa.

Seramai 45 peserta menyertai kursus selama enam minggu itu dan mereka akan ditugaskan di Pusat Permata Negara yang akan diwujudkan nanti.

Mengulas lanjut, Asha'ari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap berkata, kesemua bangunan Pusat Permata Negara yang baru itu dibiayai oleh anak syarikat kerajaan negeri, Golden Paros Berhad.

"Ini bermakna setiap kawasan Parlimen di Terengganu akan ditubuhkan Pusat Permata Negara dan buat permulaan, ia akan dimulakan di kompleks YPKT di Kuala Terengganu.

"Taman Permata Negara ini akan menjadi pelengkap kepada 42 Taska Hadhari yang diwujudkan YPKT sebelum ini," katanya.

Menurut beliau, dengan penubuhan Pusat Permata Negara oleh kerajaan Terengganu itu, ia bakal mampu menempatkan 30 orang kanak-kanak bagi setiap pusat berkenaan.

Asha'ari berkata, program itu dilaksanakan antara kerajaan negeri melalui YPKT dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Sekretariat Permata Negara.

UTUSAN MALAYSIA - 25 APRIL 2008

Lampiran:Tiada rekod