Kategori:Keratan Akhbar
 

KUALA TERENGGANU 29 Mac – Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memperuntukkan sebanyak RM9 juta tahun ini bagi melaksanakan program pembangunan untuk golongan ibu tunggal di negeri ini.

Pengarahnya, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, daripada jumlah itu, RM5 juta disediakan bagi tujuan kemudahan pinjaman manakala selebihnya untuk program pembangunan sosial dan ekonomi.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha YPKT untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, peruntukan bagi pembangunan ekonomi dan sosial itu telah meningkat tahun ini berbanding hanya RM2 juta sahaja diperuntukan bagi tujuan yang sama tahun lalu.

Menurut Mohd. Shafaruddin, melalui kemudahan berkenaan, nasib golongan tersebut akan lebih terjamin memandangkan sebahagian besar daripada mereka mempunyai tanggungan yang besar.

Pada masa ini jelasnya, terdapat 17,900 ibu tunggal di seluruh Terengganu dengan 40 peratus daripadanya berusia bawah 40 tahun.

“Kesemua bantuan dan kemudahan pinjaman modal tersebut diuruskan melalui Kelab Ibu Tunggal yang diwujudkan di kesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

“Kami mahu mereka berdikari dan berusaha segigih mungkin kerana tidak mahu golongan berkenaan terjerat dalam kemiskinan,” ujarnya.

Jelasnya, bagi memastikan golongan berkenaan mampu menjalankan perniagaan sendiri, pihaknya menyediakan skim latihan dan kemahiran kepada mereka.

Setakat ini katanya, usaha tersebut telah mencapai kejayaan dan matlamat YPKT dalam membela nasib golongan itu membuahkan hasil yang dikehendaki.

“YPKT juga telah merancang pelbagai program untuk golongan berkenaan selepas ini supaya kehidupan mereka lebih berjaya,” ujarnya.


UTUSAN MALAYSIA - 29 MAC 2008

Lampiran:Tiada rekod