Kategori:Keratan Akhbar
 

KUALA TERENGGANU 13 Jun - Membesarkan 12 orang anak dan memastikan mereka mendapat pendidikan sehingga ke menara gading bukan satu tugas mudah, namun ibu tunggal, Chik Yusof, 67, berjaya melakukannya atas daya usaha dan kemahuan untuk melihat anak-anak mempunyai masa depan yang lebih baik.

Atas kesedaran bahawa hanya pendidikan mampu mengeluarkan anaknya daripada kepompong kemiskinan, wanita itu bersusah-payah menyekolahkan mereka sehingga semuanya berjaya menggenggam ijazah dari universiti dalam dan luar negara.

Kini, anak beliau iaitu enam lelaki dan enam perempuan berusia antara 23 hingga 44 tahun mempunyai kerjaya yang membanggakan antaranya menjadi peguam, jurutera, doktor, guru, akauntan, ahli geologi dan usahawan.

Anak sulungnya, Abdul Nasir Mansor ialah lulusan dari sebuah universiti di Sydney, Australia manakala tiga yang lain merupakan lepasan Universiti Louisiana, Universiti Texas dan Universiti Iowa di Amerika Syarikat.

Seorang lagi lulusan Universiti Leeds, United Kingdom sementara enam yang lain lulusan Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa.

Anak bongsunya, Ahmad Kamal Mansor, 23, kini melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Mesir.

Kejayaan ibu tunggal itu mendidik anak-anaknya melayakkannya untuk dipilih sebagai Ibu Mithali Peringkat Parlimen Kuala Terengganu pada satu majlis sempena sambutan Hari Ibu di sini hari ini.

Dengan pemilihan itu, Chik yang berasal dari Kampung Sungai Rengas dekat sini membawa pulang wang tunai serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Che Mohamad Jusoh.

Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd. Shafaruddin Mustafa.

Pada majlis anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan kerjasama Wanita UMNO Parlimen Kuala Terengganu itu, lapan orang yang lain turut menerima hadiah bagi dua kategori iaitu Ibu Cemerlang dan Ibu Gemilang.

Chik ketika ditemui selepas majlis itu memberitahu, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil ketegasan dan disiplin dalam memastikan 12 anaknya memberi tumpuan kepada pelajaran.

"Dulu masa anak-anak masih kecil, mak cik asuh anak-anak dengan pendidikan agama dan ajar sendiri mereka membaca al-Quran selain memberi tumpuan terhadap persekolahan mereka," ujarnya yang kematian suami enam tahun lalu.

Chik yang merupakan bekas guru agama berkata, kesemua kerja rumah dilakukan sendiri tanpa bantuan anak-anak bagi memastikan mereka memberi tumpuan penuh kepada pelajaran.

"Saya tidak marah anak-anak tidak tolong saya membuat kerja rumah asalkan mereka memberi tumpuan kepada pelajaran dan rajin mengulang kaji.

"Biarlah saya penat tidak mengapa bagi memastikan anak-anak tidak merasai keperitan hidup semasa kecil," ujar nenek kepada 32 cucu itu.

Chik memberitahu, dia bersama arwah suaminya, Mansor Talib bersikap tegas dalam mendidik anak-anak.

"Sejak kecil lagi saya akan pastikan semua anak-anak berkumpul terlebih dahulu sebelum kami sekeluarga makan bersama. Itulah semangat yang diterapkan pada anak- anak,'' katanya yang dikelilingi oleh anak-anak dan menantunya.

Chik memberitahu, pernah suatu ketika salah seorang anaknya pulang lewat ke rumah selepas sekolah, jadi anak-anak yang lain terpaksa menunggu adiknya itu balik sehingga semuanya tertidur di meja makan.

Utusan Malaysia - 13 Jun 2008

Lampiran:Tiada rekod