Kategori:Keratan Akhbar
 

KUALA TERENGGANU 13 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bersetuju melaksanakan Projek Rangsangan dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang.

Program tersebut diwujudkan bagi menggalakkan perkembangan kanak-kanak di peringkat prasekolah di negeri ini.

Persetujuan untuk mengadakan kerjasama itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di sini hari ini.

MoU tersebut antara lain bertujuan merangsang penglibatan ibubapa dalam pengukuhan pembelajaran anak-anak sejak dari peringkat awal.

UPM diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha Raja Abdullah manakala YPKT diwakili oleh Pengarahnya, Safarudin Mustaffa.

Menurut Nik Mustapha, melalui program Projek Rangsangan, kemudahan sedia ada di prasekolah dimanfaatkan sepenuhnya supaya ahli komuniti dapat berkongsi sumber untuk kepentingan bersama.

''Pakej ini mengandungi bahan-bahan bacaan, bahan pembelajaran seperti poster dan kad imbasan dan juga permainan," katanya.

Jelasnya, untuk melengkapkan pakej ini bahan bacaan untuk kanak-kanak dan ibu bapa juga dimasukkan bagi menyemai budaya membaca dalam sesebuah keluarga.

Katanya, selain dapat meningkatkan pengetahuan, menggalakkan interaksi dan merapatkan hubungan sesama keluarga, ia juga dapat mengurangkan pengaruh negatif ke atas anak-anak.

Sementara itu, Pengarah YPKT, Safaruddin Mustaffa memberitahu, pada peringkat permulaan seramai 125 keluarga terpilih untuk menyertai projek ini.

Katanya, setiap bahan projek rangsangan ini telah diuji kesesuaiannya oleh pakar perkembangan kanak-kanak.

Dalam pada itu jelasnya, YPKT dan UPM juga berhasrat untuk menjalankan beberapa program lain yang bermanfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Beliau berkata, pihaknya berharap dapat memperluaskan lagi penerokaan berkaitan asas kekeluargaan dalam melahirkan modal insan yang cemerlang dan terbilang.

Utusan Malaysia - 14 Julai 2008

Lampiran:Tiada rekod