Kategori:Umum
 

TEKS UCAPAN PERASMIAN
YANG DIPERTUA MAIDAM
SEMPENA SEMINAR CUKAI DAN ZAKAT PERNIAGAAN
ANJURAN DEWAN PERNIAGAAN ISLAM MALAYSIA (DPIM) CAWANGAN TERENGGANU DAN MAIDAM DENGAN KERJASAMA LHDN

******************************************

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Bismillahirrahmanirahim,

Alhamdulillahirabbil alamin, wabihinastain,

Saudara Pengacara Majlis,

Y.Bhg. Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM,

Y.Bhg. Yang Dipertua, Dewan Perniagaan Islam Malaysia Cawangan Terengganu,

Y.Bhg. En. Ammar bin Johari, Pengarah LHDN Terengganu,

Y.Bhg. Dato’-Dato’ / To’ Puan - To’ Puan,

Y.M. Tengku-Tengku,

Ahli-Ahli Jawatankuasa Penganjur,

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Bersyukur kita kepada Allah s.w.t. kerana di atas limpah rahmat dan keizinanNya dapat diadakan Seminar Cukai dan Zakat Perniagaan pada hari ini. Saya ucapkan tahniah kepada pihak penganjur iaitu Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Cawangan Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membolehkan seminar ini diadakan. Saya juga ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya atas kapasiti Yang Dipertua MAIDAM untuk merasmikan seminar ini.

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima yang ditetapkan oleh Allah s.w.t., MAIDAM hanya diberi kuasa untuk memungut, mengurus dan mentadbir zakat dan fitrah daripada setiap orang Islam yang kena dibayar di dalam Negeri Terengganu mengikut Hukum Syarak bagi pihak Duli Yang Maha Mulia Sultan, sebagaimana termaktub dalam fasal 70, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 1422H/2001M. Majlis juga dikehendaki menolong menyediakan taksiran-taksiran berkenaan dengan orang-orang yang kena membayar zakat, menunjukkan kadar dan banyaknya serta tempoh masa mereka itu kena bayar.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Apabila Allah s.w.t. menetapkan sesuatu perkara itu sebagai rukun, mesti ianya mempunyai hikmah yang amat banyak dan tinggi nilainya. Di antara hikmah zakat yang utama yang saya petik daripada ruang Bicara Agama keluaran Utusan Malaysia pada 16 Disember 2011 adalah;

(i)    Membersihkan harta daripada ‘kotoran’ batini, iaitu campuran dengan harta orang lain (asnaf zakat),

(ii)    Membersihkan jiwa orang-orang kaya daripada sifat mazmumah seperti kedekut, tamak dan cinta dunia,

(iii)    Menyuburkan jiwa mereka dengan sifat terpuji iaitu zuhud, pemurah dan quna’ah,

(iv)    Menyemai sensitiviti yang tinggi dalam kalangan umat Islam sehingga menubuhkan sifat pengasih dan penyayang dalam diri orang-orang kaya terhadap asnaf zakat dan menghakis sifat iri hati dan buruk sangka asnaf zakat terhadap orang-orang kaya,

(v)    Membina jambatan ukhuwah antara orang-orang kaya dan asnaf zakat, sekaligus melahirkan kasih sayang yang padu dalam masyarakat,

(vi)    Mengurangkan kadar jenayah dalam Negara yang dilakukan akibat dengki dan iri hati orang-orang miskin terhadap golongan kaya atau akibat kesempitan hidup,

(vii)    Dapat memajukan ekonomi umat Islam melalui perancangan penggunaan dana zakat yang berkesan dan menjadi sumber pendapatan kepada Negara,

(viii)    Mewujudkan masyarakat yang seimbang dari segi kekayaan dan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin,

(ix)    Memperkasakan Negara dan umat Islam melalui penyelidikan yang dijalankan mengguna dana zakat,

(x)    Menjadi payung kepada umat Islam yang memerlukan ‘tempat berteduh’ iaitu berupaya memenuhi keperluan mereka yang kurang bernasib baik.

Dari segi natijahnya pula, zakat menjadi sebab datangnya kasih sayang Allah dan juga datangnya keberkatan dalam kehidupan. Firman Allah s.w.t. :

“Jikalau penduduk-penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) maka Kami seksa mereka disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri.” (Surah Al-A’raf :96)

Apabila keberkatan memayungi sesebuah Negara, maka Negara itu akan jadi aman dan makmur. Walau bagaimanapun, keadaan ini perlu diperkukuhkan dengan memper-kasakan syariat Allah dalam semua aspek kehidupan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

“Sebenarnya harta itu sangat menggoda. Bagi orang yang mendapatnya dengan kemurahan hati (suka bersedekah dan berzakat) dia akan beroleh berkat; dan orang yang mendapatnya dengan rakus (tamak dan hanya mementingkan diri); maka ia tidak akan memperolehi keberkatan, samalah seperti orang yang makan, tetapi dia tidak beroleh kekenyangan.” (Riwayat Abu Daud)

Maka, menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk memastikan hak Allah s.w.t. yang tersimpan dalam hartanya dikeluarkan sebagai zakat.

Amalan ini bukan sekadar membersihkan harta dari unsur-unsur yang tidak halal kerana termakan harta milik asnaf, bahkan dapat melestarikan keberkatan. Zakat adalah satu cara bagi menjamin keberkatan dan dapat menjamin kebahagian umat manusia.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Alhamdulillah di tahun-tahun kebelakangan ini, kesedaran dan ketaatan umat Islam di negeri Terengganu tentang kewajipan mereka membayar zakat kian meningkat. Dalam tahun 2008, jumlah zakat dipungut oleh MAIDAM adalah sebanyak RM37.0 juta, tahun 2009 sebanyak RM55.0 juta, tahun 2010 sebanyak RM74 juta dan dalam tahun 2011 berjumlah RM88 juta. Bagi tahun 2012 MAIDAM menganggarkan sebanyak RM100 juta dapat dipungut, Insya Allah.

Dari segi agihannya pula, perlu saya nyatakan bahawa pembahagian kepada 8 asnaf itu tidak sama rata kerana terdapat asnaf yang kurang jumlahnya seperti Riqab, Gharimin dan Ibnu Assabil. Manakala bagi asnaf-asnaf fakir, miskin dan fisabilillah jumlahnya dipertingkat-kan atas keperluan asnaf-asnaf tersebut di negeri Terengganu.

Dalam tahun 2011, bagi asnaf fakir diagihkan sebanyak 19.1% daripada jumlah agihan, bagi asnaf miskin diagihkan sebanyak 32.8% dan  asnaf fisabilillah sebanyak 29.8%.

Selain daripada agihan tunai sebagai bantuan sara hidup kepada asnaf fakir, miskin serta bantuan sempena Hari Raya, sukacita saya maklumkan bahawa MAIDAM telah mengambil pendekatan supaya anak-anak kumpulan fakir miskin ini diberi peluang pendidikan dan latihan sebaik mungkin agar generasi kedua kumpulan ini tidak lagi dibelenggu dengan taraf fakir miskin ini.

Di antara aktiviti dan program di bawah pendekatan ini adalah bantuan Biasiswa Persekolahan, Bantuan Tambang Pengangkutan, Bantuan Peralatan Pelajar Sekolah, Bantuan Makanan Bulanan, Bantuan Uniform Sekolah dan lain-lain lagi. MAIDAM sendiri telah menubuhkan sebuah asrama di Batu Rakit untuk menempatkan pelajar-pelajar miskin dan anak yatim. Pada masa ini asrama tersebut dapat menempatkan 160 orang pelajar. Di samping itu, MAIDAM telah bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri agar dapat menempatkan 10 orang pelajar miskin di setiap asrama sekolah yang berasrama di negeri Terengganu dan semua yuran asrama bagi pelajar-pelajar berkenaan ditanggung oleh MAIDAM melalui wang zakat. MAIDAM juga telah berurusan dengan Pusat Giat Mara bagi mengendalikan kursus membuat kek dan roti di pusat latihan di Pulau Kerengga, Marang bagi melatih anak-anak golongan miskin.

Di bawah asnaf Fisabilillah, peruntukan yang besar juga disediakan bagi pendidikan iaitu dalam bentuk dermasiswa kepada penuntut-penuntut institusi penga-jian tinggi di dalam dan di luar negara iaitu kira-kira 11% dari jumlah agihan zakat. Mulai tahun 2010 sehingga kini, MAIDAM telah menghantar 19 orang pelajar di bawah program khas yang dikenali sebagai ‘Program Memperkasa Ulama’ di universiti-universiti di Mesir dan Jordan. Di samping itu, MAIDAM juga membiayai mahasiswi perubatan yang diharap akan menjadi pakar perubatan dan sakit puan. Program ini sebagai memenuhi fardhu kifayah dari segi kepakaran doktor wanita dalam jurusan sakit puan yang amat sukar didapati pada masa ini.

Mungkin saya tidak dapat menyenaraikan semua aktiviti dan program yang dijalankan dan dirancangkan oleh MAIDAM seperti bantuan pembaikian rumah kediaman, membina rumah baru, bantuan kepada pemulihan HIV/AIDS, bantuan kepada sekolah-sekolah agama, dermasiswa kecil pelajar pondok, elaun mubaligh dan lain-lain.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Akhir kata, percayalah bahawa pembayaran zakat tuan-tuan dan puan-puan bagi menunaikan rukun Islam ini ‘will be in good hands of MAIDAM’. Ianya akan diurustadbir menurut lunas-lunas yang dibenarkan oleh Hukum Syarak yang dipandu rapi oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri. Sebagai satu testimoni bahawa pengurusan dan pentadbiran kewangan MAIDAM termasuk pengurusan Kumpulan Wang Zakat dijalankan dengan baik dan teratur adalah pengiktirafan 4 bintang oleh Jabatan Audit Negara tentang Financial Accountability of MAIDAM bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2009 hingga 2011. Markah yang MAIDAM perolehi bagi pengurusan kewangan dan penyata kewangan bagi tahun 2011 adalah antara yang tertinggi di antara 4 jabatan yang memperolehi 4 bintang. ‘That, I suppose, speaks volumes for itself’.

Wallahua’lam,

Saya dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, dengan sukacitanya merasmikan Seminar Cukai dan Zakat Perniagaan anjuran Dewan Perniagaan Islam Malaysia Cawangan Terengganu dan MAIDAM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Wabillahi taufik wal hidayah. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.


26 Jun 2012

Lampiran:Tiada rekod