Kategori:Umum
 

KENYATAAN AKHBAR SEMPENA PENYERAHAN BAYARAN KEUNTUNGAN PENGURUSAN LADANG SAWIT MAIDAM OLEH TDM BERHAD

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah dikurniakan tanah di Mukim Kuala Jengai, Dungun seluas 1,300 hektar. Fasa I seluas 670 hektar telah dimajukan oleh TDM Berhad (TDM), manakala Fasa II dalam proses kelulusan Kerajaan Negeri yang juga akan ditanam dengan kelapa sawit.  Kerja ini dijangka dimulakan dalam tahun 2013.

2.     Bagi Fasa I melibatkan 6 lot berkeluasan 670 hektar telah dilaksana secara usahasama dengan TDM. Perjanjian ditandatangani bermula 10 Mac 1997 dengan tempoh pajakan selama 30 tahun dan pilihan lanjutan 30 tahun lagi.

3.     Kadar sewa sebelum matang ialah RM12.00 seekar setahun, manakala selepas matang kadar sewa iaitu RM30.00 seekar setahun. TDM bersetuju segala kos dan perbelanjaan mengurus serta kerja-kerja berkaitan di bawah tanggungan TDM.

4.     Keuntungan bersih daripada hasil minyak dibahagi dengan nisbah TDM 68%, manakala MAIDAM 32% dan juga bersetuju 10% daripada keuntungan kasar setiap tahun digunakan sebagai fee dibayar kepada TDM bagi mengurus ladang berkenaan. Hasil keuntungan yang telah dibayar kepada MAIDAM sehingga kini ialah berjumlah RM136,553.00 (keuntungan tahun 2010) dan RM932,568.00 (keuntungan tahun 2011).

5.     Kadar sewa tanah yang dibayar oleh TDM Plantation kepada MAIDAM ialah RM4,120.55 sebulan (RM49,446.00 setahun) bagi sewaan keluasan tanah 1,648.22 ekar.

6.     Pendapatan dari tanah milik MAIDAM ini akan diguna bagi pelaburan hartanah melalui pembelian aset dan pembinaan premis perniagaan untuk manfaat orang-orang Islam.  Keutamaan akan diberi bagi membangun tanah-tanah milik MAIDAM, tanah wakaf atau Baitulmal.


Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu
6 Jun 2012 bersamaan 16 Rejab 1433

Lampiran:Tiada rekod