Kategori:Umum
 

Penstrukturan Semula Pentadbiran Institusi Islam Negeri Terengganu

Susulan Pindaan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 [En. 2/2001] Pindaan 2012 dalam sidang Dewan Undangan Negeri Keduabelas pada 24 -26 April 2012, pentadbiran hal ehwal agama Islam di negeri Terengganu telah disusun semula yang menjelaskan kedudukan Ahli Majlis sebagai pembuat dasar dan agensi-agensi di bawahnya sebagai pelaksana dasar.

Seksyen 5 memperuntukkan Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik seorang Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama dan beberapa orang Pengarah bagi menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab-tanggungjawab yang ditetapkan oleh Majlis dan Enakmen ini. Manakala seksyen 9 pula memperuntukkan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama hendaklah menjadi Setiausaha bagi Majlis dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM.

Penstrukturan ini telah menjelaskan lagi fungsi dan kedudukan Majlis sebagai Pihak Berkuasa Utama selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam semua perkara yang berhubung dengan agama Islam dan adat Melayu kecuali  perkara-perkara Hukum Syara’ (tugas Mufti) dan Pentadbiran Keadilan (tugas Ketua Hakim Syarie).

Bagi menyempurnakan fungsinya, MAIDAM akan dibantu oleh jabatan-jabatan berikut yang diketuai oleh seorang pengarah :

1. Jabatan Dakwah, Pendidikan dan Pengurusan Masjid
2. Jabatan Pembangunan Keluarga dan Penguatkuasaan
3. Jabatan Baitulmal
4. Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan
5. Jabatan Hal Ehwal Fatwa dan Adat Melayu
6. Jabatan Kehakiman Syariah
7. Jabatan Penyeliaan dan Teknikal
8. Jabatan Pengurusan Halal

Perubahan ini menjadikan Majlis begitu dominan dan seterusnya memperkasakan institusi pentadbiran Islam itu sendiri selaras Resolusi Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia 2011 yang bersidang pada 28-29 Syawal 1432H bersamaan 26-27 September 2011.
 

Lampiran:Tiada rekod