Kategori:Umum
 

LATAR BELAKANG

Wakaf adalah satu ibadat menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan umum masyarakat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

Para ahli fiqh dan ulama' berpendapat amalan wakaf merupakan ibadat yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf hingga ke akhirat dan sangat dituntut dalam agama Islam. Ia merupakan suatu amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada pewakaf selagi harta atau ain yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan. Kedudukan harta waqaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala dengan demikian kedudukan harta waqaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah ( diberi ) , diwarisi dan dipusakai.

Allah S.W.T telah mensyariatkan waqaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepadaNya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang meninfaqkan harta mereka ke jalan Allah Taala sebagaimana firman Allah yang bermaksud :-

“ Bandingan ( pahala ) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah umpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( KurniaNya ) lagi Maha Mengetahui. ”

( Surah Al-Baqarah Ayat 261 )

Rasulullah S.A.W sendiri amat menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan sedekah jariah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang bermaksud:-

“ Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu SEDEKAH JARIAH, ILMU YANG DIMANFAATKANNYA dan ANAK YANG SOLEH yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya. "
(Hadis Riwayat Muslim )

PENGERTIAN WAKAF

Dari sudut bahasa perkataan wakaf adalah berasal dari perkataan Arab “ Al-Waqf ” yang bermaksud harta yang diwakafkan. Ia juga bermakna harta itu ditahan (al-habs) atau dihalang (al-mana' ).

Mengikut istilah syarak pula, wakaf membawa maksud menahan sesuatu harta itu daripada pewakaf dan mensedekahkan manfaatnya untuk kebajikan dan kepentingan agama dan umat Islam atau kepada penerima wakaf tersebut dari mula harta itu diwakafkan hinggalah ke akhirnya semata-mata kerana Allah Subhanahu Wa Taala untuk selama-lamanya.

DALIL PENSYARIATAN

Rasulullah S.A.W bersabda di dalam hadisnya yang bermaksud:-

“ Dari Ibnu Umar R.A: Umar Al-Khattab R.A berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah memperolehi sebidang tanah di Khaibar. Aku tidak pernah memiliki tanah yang tinggi nilai sepertinya. Apakah Rasulullah mahu aku buat dengan tanah itu? Maka Rasulullah S.A.W bersabda: Jika engkau mahu, tahanlah tanah itu (yakni wakafkanlah tanah itu) dan sedekahkanlah manfaatnya. "

( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

Dan firman Allah Subhanahu Wa Taala yang bermaksud:

“ Kamu sekali-kali tidak dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sehinggalah kamu memberi (menafkahkan) sebahagian harta yang kamu cintai ke jalan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Taala Maha Mengetahui. ”

( Surah Ali Imran – Ayat 92 )

OBJEKTIF

    * Menghidup suburkan semula amalan wakaf yang merupakan sedekah jariah yang sangat dituntut oleh Islam.
    * Menyediakan kemudahan dan alternatif kepada masyarakat umat Islam untuk menyertai ibadah wakaf walaupun tanpa melibatkan wakaf yang berbentuk aset kekal
    * Dalam usaha menggalakkan masyarakat Islam mengiktiraf wakaf sebagai sistem yang diyakini berpotensi untuk menggerakkan pembangunan sosial dan ekonomi umat Islam.
    * Menanam dan mendidik sikap, semangat dan kerjasama yang erat antara sesama umat Islam berkonsepkan ukhuwwah Islamiah dan semangat Taawun dalam Islam.
    * Memperbanyakkan lagi pegangan aset, harta umat Islam hasil daripada pengumpulan tunai dan disalurkan untuk kepentingan agama Islam dan pembangunan masyarakat Islam.
    * Melaksanakan strategi pembangunan harta-harta wakaf dan ekonomi umat Islam dengan skop yang lebih luas, dinamik dan bersepadu.
    * Meluaskan saluran kebajikan dengan sistematik dan berkesan.
    * Memberi alternatif kepada semua golongan umat Islam untuk turut menyumbang ke arah pembangunan sosio ekonomi masyarakat Islam.

Melahir dan menzahirkan pembangunan Institusi Wakaf dengan lebih produktif dan berwibawa.
 

KONSEP SKIM WAKAF TUNAI

    * Mewakafkan harta adalah merupakan amal jariah yang sangat dituntut oleh agama Islam kerana amalan wakaf bukan hanya sebagai satu ibadah malahan ia merupakan satu sistem yang berpotensi untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Islam melalui pengumpulan harta secara bersama dan berkelompok.
    * Skim Wakaf Tunai adalah satu skim bagi menggalakkan orang ramai ( umat Islam) menyumbang dan membuat pelaburan sebagai sedekah jariah ( wakaf ) tanpa had minimum untuk tujuan demi kepentingan, kebajikan dan kemaslahatan umat Islam secara menyeluruh.
    * Sesiapa sahaja yang beragama Islam boleh menyertai skim ini. Skim Wakaf Tunai ini memudahkan umat Islam untuk mewakafkan harta mereka dalam bentuk tunai kerana tidak semua umat Islam di negeri ini khasnya dan di Malaysia amnya, mempunyai aset atau harta kekal seperti tanah, bangunan dan sebagainya.
    * Dengan memperkenalkan skim Wakaf Tunai yang mudah ini maka diharap semua Umat Islam di negeri ini dapat menyumbang dan membuat pelaburan untuk Akhirat mereka.

MATLAMAT SKIM WAKAF TUNAI DITUBUHKAN

1.       Melaksanakan ibadah wakaf secara berkelompok

2.       Melambangkan penyatuan dan kerjasama umat Islam berteraskan Ukhuwah Islamiah

3.       Melaksanakan strategi pembangunan harta-harta wakaf dan ekonomi umat Islam dengan skop yang lebih luas, dinamik dan bersepadu.

4.       Meluaskan saluran kebajikan dengan sistematik dan berkesan.

5.       Memberi alternatif kepada semua golongan umat Islam untuk turut menyumbang ke arah pembangunan sosio ekonomi masyarakat Islam.

6.       Melahir dan menzahirkan pembangunan institusi wakaf dengan lebih produktif dan berwibawa.


KE MANAKAH DANA WAKAF TUNAI YANG TERKUMPUL DILABURKAN

Sumbangan wang tunai yang terkumpul akan disatukan ke dalam satu akaun khas dana wakaf tunai dan wang tunai tersebut akan ditukarkan kepada aset atau harta kekal yang dinamakan BADAL atau ganti wang. Penukaran ini dibuat dalam bentuk:-

1.       Pembangunan hartanah

2.       Pembangunan harta wakaf yang sedia ada.

3.       Pembelian dan pembinaan bangunan pejabat/kedai/sekolahagama/rumah orang tua/anak yatim.

4.       Pembangunan perladangan/pertanian/penternakan dan perkilangan.

Harta wakaf yang dibuat dalam bentuk ini dinamakan WAKAF MUSYTARAK atau WAKAF BERKELOMPOK .

CARA MENYERTAI SKIM WAKAF TUNAI

    * Mana-mana individu / organisasi boleh menyumbang wakaf tunai semata-mata kerana Allah Taala untuk selama-lamanya tanpa had minimum.
    * Penyumbang dana wakaf tunai akan mewakilkan kepada pihak MAIDAM bagi pihak dirinya atau orang lain untuk mewakafkan wang tunai tersebut untuk harta kekal.

    * Penyertaan hendaklah menggunakan borang yang disediakan iaitu Borang B1 ( untuk wakaf umum/khusus ) dan setiap penyertaan boleh dikemukakan dimana-mana kaunter yang telah disediakan.

    * Penyertaan terbuka kepada semua masyarakat umat Islam dan juga syarikat-syarikat.

    * Setiap peserta tidak akan menerima sebarang dividen atau keuntungan kerana ianya bersifat wakaf.

    * Penyertaan juga boleh diwakilkan kepada orang lain bagi pihak dirinya atau mana-mana individu yang telah meninggal dunia.

    * Setiap penyertaan akan menerima sijil Wakaf Tunai yang akan dihantar kepada setiap pewakaf dalam tempoh 2 minggu selepas tarikh penerimaan borang penyertaan.

“ Renungan Bersama ”

Allah S.W.T amat menggalakkan hambaNya ( umat Islam ) memperbanyakkan dan berlumba-lumba dalam mengerjakan ibadah sesuai dengan firmanNya yang bermaksud:-

“ Maka berlumba-lumbalah kamu dalam mengerjakan kebajikan ”

(Surah Al-Baqarah – Ayat 148)

Justeru itu rebutlah peluang keemasan ini untuk kita bersama-sama mengumpul bekalan dan saham akhirat kita melalui Skim Wakaf Tunai Terengganu yang mudah ini. Semoga wakaf tuan/puan akan mendapat ganjaran pahala yang berkekalan sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Taala disamping kita menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Islam dan agama Islam yang Maha suci.

Hendaklah Berniat Mewakilkan Wakaf Ketika Mengisi Borang Wakaf ”

 CARA PEMBAYARAN SKIM WAKAF TUNAI

Sila hubungi pejabat Maidam atau cawangan Maidam yang berdekatan.

Lampiran:Tiada rekod