Kategori:KATA ALUAN
 

Kerajaan negeri akan turut memuatkan perisian jawi ke dalam buku teks elektronik, e-Book yang diagihkan secara percuma kepada pelajar di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, dengan adanya perisian itu, ia akan memudahkan proses pembelajaran jawi dan memperkasakan tulisan itu di samping melengkapkan lagi kandungan e-Book, selain al-Quran dan kamus.

"Bagaimanapun, cadangan itu (memasukkan perisian jawi ke dalam e-Book) akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian e-Book untuk sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu Serada, di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman; Pengarah Pelajaran negeri, Razali Daud dan ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah.

Pada majlis itu, seramai 772 murid tahun lima dari lapan buah sekolah menerima e-Book masing-masing.

Antara sekolah tersebut ialah SK Padang Midin, SK Tasek, SK Simpang Rawai, SK Gelugor, SK Kepong, SK Banggol Katong, SK Serada dan SK Kampung Baharu Serada.

Dalam pada itu, beberapa murid yang ditemui meluahkan rasa gembira selepas menerima e-Book secara percuma daripada kerajaan negeri.

Menurut Mohd. Hafizi Hussin, 11, dengan adanya e-Book, dia lebih bersemangat untuk belajar dan dia boleh menguasai komputer.

"Saya berjanji tidak akan main-main lagi," kata murid tahun lima SK Tasek itu.

Bagi pasangan kembar dari SK Simpang Rawai, Nor Samirah Husna Aziz dan Nor Shamimi Liyana Aziz pula, pemberian e-Book dapat memudahkan mereka mengulang kaji pelajaran selepas ini.

Anak kelima dan keenam itu yang hadir dengan ditemani bapa mereka, Aziz Awang, 51, berkata, mereka tidak lagi perlu berkongsi kemudahan itu dengan sesiapa.

Seorang kanak-kanak kurang upaya, Abdullah Rosli dari SK Serada berkata, sudah lama dia berhasrat komputer riba seperti itu.

Dia yang berkerusi roda kerana masalah kecederaan sendi dan lutut hadir ditemani bapa saudaranya, Wahab Yusof, 50.

 

Lampiran:Tiada rekod