Kategori:KATA ALUAN
 

BESUT, 16 Feb (Bernama) -- Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu anjuran Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) Terengganu pada 14 dan 15 Mac ini akan menghimpunkan kira-kira 300 pendidik bahasa Melayu yang terdiri daripada pensyarah, guru sekolah dan graduan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari Indonesia, Thailand dan Malaysia.

Pengerusi PPBMM, Che Soh Muda berkata seminar anjuran pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Pelajaran Terengganu itu bertujuan untuk berkongsi pengalaman antara pendidik tiga negara dalam memantapkan pendidikan bahasa selain membina jaringan komunikasi serantau

Beliau berkata enam kertas kerja utama akan dibentang oleh tokoh pendidik bahasa dari Indonesia, Thailand, China dan Malaysia dalam seminar itu nanti, yang akan diadakan di sebuah hotel di Kuala Terengganu.

Menurutnya tokoh tempatan yang akan membentangkan kertas kerja nanti ialah Penasihat PPBMM, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, Penyandang Kursi Pengajian Bahasa Melayu Beijing Foreign Studies University, Prof. Dr Awang Sariyan dan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Teo Kok Seong.

"Pembentang kertas kerja dari luar negara pula terdiri daripada Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Indonesia, Bandung, Prof. Dr H.Sunaryo Kartadinata, Pensyarah kanan, Universiti Medan, Sumatra, Prof. Dr Khairil Ansari dan Pensyarah Kanan, dari Songkhla Nakarin University, Thailand, Dr Abdullah Karina," katanya kepada Bernama, di sini, Rabu.

Che Soh berkata mereka yang berminat menyertai seminar itu boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web persatuan berkenaan, dan menurutnya tarikh tutup penyertaan ialah pada 10 Mac ini.



-- BERNAMA

Lampiran:Tiada rekod