Kategori:Artikel Sumber Air
 
Air adalah suatu anugerah alam yang paling berharga. Namun ia sering dianggap seolah-olah sebagai suatu sumber yang tidak akan putus (inexhaustible source) dan sering diambil mudah (taken for granted) dan dibazirkan. Sebagai suatu langkah berjimat cermat dan mengurangkan bil air, kita boleh mengamalkan tips berikut.

Memeriksa sama ada terdapat kebocoran
Kebocoran menyebabkan pembaziran air dan meningkatkan bil bulanan anda. Pemeriksaan yang kerap mengenai kebocoran hendaklah dilakukan seperti berikut:

  1. Periksa pili dan paip sama ada terdapat kebocoran.
  2. Pastikan tangki tandas tidak melimpah.
  3. Tutup kesemua paip di rumah anda dan periksa meter air.
  4. Sekiranya meter masih lagi berjalan maka ianya menunjukkan berlakunya kebocoran.
Petunjuk-petunjuk berlakunya kebocoran saluran paip bawah tanah di rumah anda ialah:
  • Terdapatnya kesan lembap di kawasan tanah di mana terdapatnya saluran paip.
  • Berlaku kekurangan bekalan secara tiba-tiba. (Tidak disebabkan oleh gangguan bekalan saluran utama).

Jika kebocoran dikesan, tutup "stop cock" yang terdapat di meter air dan hubungi tukang paip berlesen untuk membaiki kebocoran itu dengan segera.

Hentikan titisan
Titisan air yang laju dari paip dapat membazirkan air sebanyak 3,000 liter sehari! Pembaziran ini dapat dielakkan dengan:

  • Menutup paip dengan kemas.
  • Tukar sesendal.
  • Periksa pemasangan paip.

Tandas
Purata sebanyak satu pertiga daripada penggunaan air di rumah adalah untuk mencucur tandas. Tandas lama menggunakan sebanyak sembilan liter air atau lebih pada setiap cucuran. Tandas baru yang telah dikuatkuasakan penggunaannya, menggunakan tidak lebih dari enam liter air untuk setiap cucuran. Sekiranya anda bercadang untuk menukar tandas, pastikan tandas baru menjimatkan penggunaan air.

Jimatkan air semasa mandi
Banyak air yang dapat anda jimatkan semasa mandi jika anda:

  • Menghadkan masa mandi.
  • Mengawal penggunaan air semasa mandi.
  • Menutup paip semasa menyabun badan.
Jimatkan air semasa di dapur
  • Cuci sayur dan daging di dalam singki yang dipenuhi air separuh muatan. Anda dapat menjimatkan penggunaan air sebanyak lima belas kali ganda berbanding dengan penggunaan air paip yang mengalir.
  • Jika mencuci pinggan dengan cara yang sama, anda dapat menjimatkan penggunaan air sebanyak tujuh kali ganda.

Gunakan muatan penuh semasa membasuh dengan mesin pembasuh
Apabila membasuh pakaian dengan menggunakan mesin pembasuh, gunakannya dengan muatan penuh kerana jumlah penggunaan air adalah sama banyak sama ada muatan penuh ataupun separuh.

* Moral : Merancang adalah penting dan menjimatkan!

 

 

Lampiran:Tiada rekod