Kategori:ARTIKEL ISLAM
 

Konsep Kerja Sebagai Ibadah

Pertama : Pekerjaan hendaklah yang dihalalkan syarak. Pekerjaan hendaklah bukan yang haram seperti menjual arak, membawa lori arak, jual dadah, pusat hiburan sebab bergelut dengan maksiat. Pekerjaan yang baik ialah pekerjaan seperti tukang sapu, doktor, guru dan sebagainya.

Kedua : Diiringi dengan niat yang baik dan ikhlas kerana Allah. Niat yang baik bermaksud niat untuk menyara diri, keluarga, memberi manfaat kepada ummah serta membangunkan bumi (negara) menerusi cara-cara yang diizinkan oleh syarak. Lantaran itu pekerjaan yang dilakukan hendaklah bersih daripada segala campuran dengan sifat-sifat ingin menonjol, ingin disanjung, dipuja dan lain-lain sifat riak dan sombong. Penegasan Islam ialah kepada kesempurnaan tugas, kejujuran dan keikhlasan niat mereka dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Rasulullah saw pernah bersabda ang bermaksud : "Sesungguhnya suatu pekerjaan itu bergantung atau dikira pada niatnya."

Ketiga : Melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh, tekun dan sebaik-baik mungkin. Kesungguhan bekerja dan menyempurnakan amanah dalam lingkungan kepakaran dan kecekapan ini dituntut oleh Islam dan hal ini dinyatakan dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah itu suka jika seseorang daripada kamu membuat sesuatu pekerjaan dengan tekun dan sebaik-baiknya." Manusia dijadikan oleh Allah swt untuk bekerja dan bekerja kerana Allah itu adalah suatu perhambaan kepadaNya. Orang Islam mesti berusaha bersungguh-sungguh dan melipat gandakan usaha mereka untuk meningkatkan produktiviti dan keimanan mereka. Allah akan memberikan balasan yang berlipat ganda kepada mereka yang melakukan pekerjaan dengan sebaik-baiknya, sebagaimana firmanNya yang bermaksud : "Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan yang baik dari apa yang telah mereka kerjakan."

Keempat : Menjaga batas-batas Allah swt dan menghormati dasar-dasar akhlak dengan tidak melakukan kezaliman, pengkhianatan, penipuan, melampaui hak orang lain termasuk penyalahgunaan kemudahan, peluang, harta dan kuasa. Syariat Islam diturunkan untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Jika kelima-lima faktor ini dijaga maka kepincangan tidak akan berlaku sama ada di dunia Barat mahupun Timur.

Batas-batas Allah swt dan dasar-dasar akhlak ini diturunkan agar sesuatu pekerjaan itu dilakukan atas prinsip-prinsip kemanusiaan dan peradaban semoga yang dilakukan dapat menyumbangkan kebajikan dan perkhidmatan yang maksima di samping dapat meningkatkan produktiviti organisasi.

Sebaliknya jika kerja-kerja yang dilakukan dan diusahakan atas dasar penipuan, kezaliman, penyelewengan, pemerasan dan sebagainya maka sudah pastilah tidak dapat mencapai kepada matlamat untuk meningkatkan martabat pekerjaan itu daripada adat kebiasaan bekerja seharian kepada martabat ibadah yang disediakan oleh Allah ganjarannya di akhirat nanti.

Kelima : Pekerjaan yang dilakukan itu tidak menghalang pekerjanya daripada menunaikan kewajipan kepada Allah swt. Ini termasuklah mengabaikan kewajipan terhadap ibadat khusus seperti sembahyang, zakat, puasa dan haji. Penyusunan giliran dan masa bekerja yang boleh mencuaikan kewajipan pokok kepada Allah swt adalah suatu perkara yang bertentangan dengan syariat Allah swt. Antara sifat mereka yang beriman adalah seperti yang digambarkan oleh Allah swt ialah seperti yang difirmankan.

 

 

 

Lampiran:Tiada rekod