Kategori:ARTIKEL ISLAM
 

Sejarah sambutan Maulidul Rasul pertama kali diadakan di tempat bernama Irbil di Iraq sekitar tahun 300 Hijrah. Sambutan secara besaran diadakan pada zaman pemerintahan Raja Muzaffar Abu Said pada abad ke 6 Hijrah bertujuan membentuk kekuatan rohani dan keyakinan mempertahankan ajaran Islam.

Masyarakat Islam ketika itu berdepan dengan gejala hilang keyakinan diri serta lemah semangat jihad. Penghayatan terhadap ajaran Islam semakin menipis dalam diri. Umat Islam merasakan semakin jauh dari ajaran yang dibawakan oleh Rasulullah.

Sedangkan ancaman daripada musuh terhadap umat Islam semakin memuncak. Ancaman itu bukan sahaja dalam bentuk fizikal, bahkan melemahkan keyakinan terhadap kesucian Islam.


Namun, hasil sambutan itu menampakkan pemulihan ke arah lebih mencintai Rasulullah serta ajaran yang dibawa oleh baginda.
Umat Islam kembali mengingati sirah, dan memperoleh kekuatan untuk berdepan dengan apa pun situasi yang mendatang.


Bermula dari situ sambutan Maulidul Rasul turut diadakan di serata tempat yang ada umat Islam. Sambutan Maulidul Rasul yang berterusan sampai sekarang adalah sambutan ulangtahun kelahiran paling besar disambut masyarakat dunia.


Maulidur Rasul hanya sambutan bermusim. Namun bukan bermakna kita mengingati Rasulullah pada ketika itu sahaja. Kesan sambutan memberi keinsafan, pengertian, kecintaan dan kesetiaan terhadap baginda secara berterusan. Seperti mana ibadat puasa, zakat fitrah dan menunaikan haji merupakan ibadat bermusim, bagaimanapun tetap menanam dan menjana ketakwaan untuk tempoh berterusan.

Mencintai diri Rasulullah samalah mencintai agama. Sesiapa menerima keesaan Allah, tetapi menolak kecintaan terhadap Rasulullah, bermakna masih tidak lengkap keimanannya. Kalimah syahadat yang menjadi lambang pengesahan keimanan turut merangkaikan ungkapan tentang kebenaran kerasulan Nabi Muhammad.

 

Lampiran:Tiada rekod