Kategori:Pengetahuan Agama
 

YAQUB ibn Ishaq al-Kindi yang juga dikenali sebagai Alkindus di Barat merupakan seorang cendekiawan Islam, ahli falsafah, saintis, ahli astrologi, ahli kimia, ahli matematik, ahli fizik dan pakar perubatan. al-Kindi merupakan ahli falsafah Peripatetik Islam pertama dan beliau terkenal dengan usahanya memperkenalkan falsafah Greek kepada dunia Arab serta pengasas kriptologi dan fizik. Waris kaum Kinda, beliau dilahirkan dan mendapat pendidikan di Kufa sebelum melanjutkan pelajaran di Baghdad. al-Kindi merupakan tokoh yang disegani di House of Wisdom dan beberapa khalifah telah melantiknya mengawasi penterjemahan karya saintifik dan teks falsafah Greek ke bahasa Arab. Hubungan dengan ahli falsafah silam seperti yang dirujuk oleh cendekiawan Islam telah member kesan kepada pembangunan dan membawa beliau menghasilkan pelbagai karya sendiri dalam pelbagai bidang seperti metafizik dan etika kepada matematik dan farmakologi. Dalam bidang matematik, al-Kindi memainkan peranan penting dalam memperkenalkan nombor India kepada dunia Islam dan Kristian.

Beliau merupakan pengasas dalam bidang kriptanalisis dan kriptologi dan menghasilkan beberapa kaedah memecahkan cipher termasuk kaedah analisis frekuensi. Menggunakan kepakaran matematik dan perubatan yang ada padanya, beliau telah membangunkan satu skala bagi membolehkan doktor mengukur keupayaan kaedah rawatan mereka. Beliau juga menjalankan eksperimen menggunakan terapi muzik. Kebanyakan karya falsafah Al-Kindi disesuaikan antara falsafah dan sains Islam terutama teologi dan kebanyakan karyanya berkaitan dengan

teologi. Ini termasuk ketuhanan, roh dan pengetahuan walaupun beliau memainkan peranan dalam menjadikan falsafah lebih dekat dengan cendekiawan Islam, karya falsafahnya tenggelam oleh al-Farabi dan hanya beberapa teksnya yang masih ada bagi kegunaan cendekiawan moden hari ini.

Bagaimanapun beliau masih dianggap sebagai salah seorang ahli falsafah Arab teragung dan beliau dikenali sebagai Ahli Falsafah Arab. al-Kindi banyak melibatkan diri dalam beberapa bidang matematik yang penting seperti aritmetik, nombor India, nombor harmoni, garisan dan penambahan dengan nombor, kuantiti relatif, mengukur nisbah dan kaedah penomboran dan pembatalan. Beliau juga menulis empat volum On The Use of the Indian Numerals (Ketab fi Isti'mal al-Adad al-Hindi) yang memberikan sumbangan besar penggunaan sistem nombor India di TimurTengah dan Barat. Dalam bidang geometri beliau menghasilkan karya mengenai teori parallel dan menghasilkan dua buah buku dalam bidang optik. Sebagai pengasas dalam bidang kriptanalisis dan kriptologi, beliau adalah orang pertama yang menulis mengenai kriptanalisis dalam A Manuscript on Deciphering Cryptographic Messages. Beliau juga diiktiraf sebagai membangunkan kaedah analisis frekuensi di mana dalam frekuensi pada sepucuk surat boleh dianalisis dan dieksploitasi bagi memecahkan ciphers misalnya kriptanalisis oleh analisis frekuensi. Keadeh berkenaan diterangkan secara terperinci dalam teks yang ditemui dalam arkib Ottoman di Istanbul, Turki bertajuk Manuscript on Deciphering Cryptographic Messages yang juga merangkumi kaedah kriptanalisis, encipherments, kriptanalisis sesuatu enchipherment dan analisis statistic surat dan gabungan surat dalam Bahasa Arab. Menurut ahli sejarah Ibn al Nadim, al-Kindi menulis sekurang-kurangnya 260 buah buku dengan 32 buah buku geometri, 22 buah buku perubatan dan falsafah, sembilan buah berkaitan logik dan 12 buah buku fizik. Beliau memberikan pengaruh yang besar dalam bidang fizik, matematik, perubatan, falsafah dan muzik selama beberapa abad. Walaupun banyak buku beliau hilang selama beberapa abad, terdapat beberapa buah telah diterjemah dalam Bahasa Latin oleh Gerard of Cremona dan yang lain ditemui dalam bentuk manuskrip Arab. al-Kindi diiktiraf sebagai ahli falsafah. Beliau meninggal dunia sebagai lelaki kesepian di Baghdad pada 873 Masehi semasa pemerintahan Al- Mu'tamid. Selepas kematiannya, semua karyanya jatuh ke tangan mereka yang tidak bertanggungjawab dan kebanyakkannya hilang kerana penjajah Mongul memusnahkan hampir kesemua perpustakaan semasa penaklukan.

Lampiran:Tiada rekod