Kategori:Penjawatan
 

KUALA TERENGGANU: Dalam usaha menjimatkan penggunaan kertas dan borang, Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu (SPNT) akan melaksanakan sistem pengambilan penjawat awam secara ‘online’, menjelang akhir tahun ini.

Pelaksanaan sistem itu juga dilihat tepat pada masanya memandangkan kebanyakan pemohon di negeri ini adalah golongan terpelajar dan tidak mempunyai masalah menggunakan komputer.

Y.A.B Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh, berkata pelaksanaan sistem pengambilan penjawat awam menggunakan cara itu juga memudahkan pemohon kerana mereka tidak perlu mengambil borang permohonan bagi mendapatkan pekerjaan.

“Ketika ini, orang yang memohon kerja ini bukan orang kampung lagi, sekurang-kurangnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tahu menggunakan komputer dan Iinternet.

“Tidak perlu mencari borang, cuma terus mengadap internet dan membuka portal kerajaan negeri yang memang sudah disediakan di bawah SPNT dan pemprosesan permohonan akan dibuat secara ‘online’ untuk kita mengelakkan penggunaan banyak kertas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kesepuluh Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pelajaran dan Negeri di Primula Beach Resort, di sini, semalam.

Hadir sama, Y.Bhg. Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri dan Y.B Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Haji Mokhtar Nong.

Sementara itu, Y.A.B Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris  Jusoh berkata, pelaksanaan sistem pengambilan penjawat awam menggunakan cara itu harus dilaksanakan supaya kerajaan negeri tidak ketinggalan dalam arus kemajuan selain memudahkan aspek pengurusan dan pentadbiran.

“Perkara ini sudah lama sebenarnya, jika dilihat pada laman web lain, ia bukan perkara baru.

“Dalam dunia sekarang, kita ingin setaraf dengan penggunaan teknologi terkini dan mendorong kita mempercepatkan kerja. Sebab itulah kerajaan negeri mengambil keputusan melaksanakan sistem pengambilan penjawat awam cara ini akhir tahun ini,” katanya.

Selain itu, katanya, penguatkuasaan larangan keluar minum pada waktu pejabat oleh kerajaan negeri baru-baru ini didapati membantu meningkatkan lagi penumpuan kakitangan awam terhadap tugas mereka.

“Kita dapati masa minum sebelah pagi boleh diperuntukkan untuk berada di pejabat dan ini membolehkan kakitangan menumpukan perhatian yang lebih kepada tugas mereka dan mereka boleh melakukan banyak kerja dalam tempoh berkenaan.

“Penumpuan terhadap tugas ini pula secara tidak langsung membantu mempertingkatkan lagi prestasi dan produktiviti kakitangan kerajaan,” katanya.

Oleh Tuan Maheran Tuan Shaffee
am@hmetro.com.my Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya

(PETIKAN AKHBAR METRO - 31 Julai 2007)

Lampiran:Tiada rekod