Kategori:Kesihatan
 TIDAK hanya semusim, tetapi seeloknya biarlah usaha penjagaan kesihatan gigi itu berpanjangan.

Malah, amalan diet seimbang, mengurangkan pengambilan gula serta sentiasa memberus gigi dengan betul yang dijadikan amalan kehidupan seharian boleh meningkatkan tahap kesihatan gigi.

Bagi masyarakat perkampungan Orang Asli di Kampung Peta, Ulu Sungai Endau, Johor, baru-baru ini, program Kempen Jom Jaga Gigi dan Kesihatan anjuran Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli nyata menyediakan pelbagai pengisian menarik.

Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad. Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Khairi Yakub.

“Kementerian bukan saja menyempurnakan kewajipan promosi kesihatan di sekolah, kampung dan kawasan perumahan, malah menerapkan gaya hidup sihat di kalangan Orang Asli termasuk dari segi penjagaan kebersihan gigi dan diri,” kata Dr Abdul Latiff pada majlis pelancaran program berkenaan.

Program dua hari bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk mengenai kepentingan kesihatan dan penjagaan gigi khususnya untuk kanak-kanak itu turut disertai khidmat nasihat, pemeriksaan saringan dan rawatan.

“Program berkenaan juga memberi pendedahan mengenai pelbagai jenis penyakit serta mengeratkan silaturahim di kalangan petugas kesihatan dan pergigian dengan penduduk di perkampungan Orang Asli terbabit,” katanya.

Antara program disediakan termasuk ceramah kesihatan, pertandingan mewarna, sukaneka serta rawatan pergigian di samping pemberian berus gigi dan ubat gigi kepada penduduk setempat yang memberikan sambutan menggalakkan.

Tok Batin, Sangka Cuka, berkata program itu dapat memberikan pelbagai kemudahan kepada penduduk khususnya pemeriksaan kesihatan dan pergigian.

“Ceramah dan pameran bukan saja memberi pendedahan kepada kami, malah dapat meningkatkan pengetahuan untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing,” katanya.

Sulong Gendut, 52, berharap program sedemikian diadakan pada masa depan dalam usaha meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan khususnya kebersihan gigi di kalangan kanak-kanak.
Lampiran:Tiada rekod