Kategori:Kesihatan
 

AMALAN pemakanan seimbang bukan sekadar untuk kesihatan badan menyeluruh, tetapi ia juga memberi pengaruh besar kepada kesihatan mata.

Makanan tambahan seperti vitamin dan mineral juga sangat penting untuk memastikan mata sentiasa sihat, terutama bagi mengelak masalah degenerasi atau kemerosotan makular berkaitan umur (AMD) dan katarak.

Bagaimana pemakanan BOLEH mempengaruhi kesihatan mata?

Pemakanan seimbang sangat penting untuk kesihatan mata. Ia membantu pembesaran badan, membaiki tisu rosak dan melindungi badan daripada jangkitan serta dapat berfungsi dengan sempurna.

Pengambilan makanan yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar dapat membantu melindungi berlakunya degenerasi makular apabila seseorang berumur melebihi 60 tahun. Mengikut kajian, pengambilan makanan yang seimbang akan membantu mencegah AMD dan katarak.

Benarkah vitamin A perlu untuk kesihatan mata?

Vitamin A diperlukan untuk kesihatan epitelium (lapisan sel luar) kornea dan konjuntiva (membran mukus lembut yang menutupi bahagian depan dan dalam kelopak mata) selain daripada sel epitelium seluruh badan seperti kulit dan lapisan mukosa usus.

Kekurangan vitamin A akan menyebabkan kerosakan pada konjuntiva dan kornea yang dipanggil Xerophathalmia yang biasanya berlaku kepada kanak-kanak dan boleh membawa kepada kebutaan di kalangan penduduk negara sedang membangun. Masalah ini boleh dicegah dengan pengambilan sayur-sayuran segar, lemak (daripada sumber haiwan dan tumbuh-tumbuhan) serta protein seperti daging, telur, keju, susu, dadih serta produk tenusu.



Apa kaitan bahan antioksida dengan kesihatan mata?

Pelbagai kajian menunjukkan vitamin yang mengandungi antioksida mempunyai hubung kait rapat dengan kesihatan mata. Vitamin mengandungi antioksida ialah vitamin A, C dan E. Iaa membantu mengekalkan kesihatan sel dan tisu di dalam mata.

Vitamin ini boleh didapati dalam pelbagai sumber seperti sayur-sayuran dan buah-buahan seperti oren, kiwi, aprikot kering, sayuran hijau, tomato, lada, lobak merah dan bayam. Makanan seperti kekacang, produk tenusu serta telur juga mengandungi banyak Vitamin A, C dan E.



Apakah ada antioksida khusus untuk kesihatan mata?

Ada dua jenis antioksida, iaitu sejenis karotenoid yang dikenali sebagai lutein dan zeaxanthin yang membantu mempertahankan kesihatan mata, terutama retina. Kedua-dua bahan ini boleh didapati secara semula jadi dalam sayur-sayuran dan buah-buahan yang juga kaya dengan vitamin A, C dan E.

Lutein boleh diperoleh daripada lada benggala kuning, mangga, bilberi dan sayuran hijau seperti bayam dan brokoli. Zeaxanthin pula boleh didapati daripada limau, brokoli, jagung, kubis, bayam, limau kasturi, telur dan lada.



Apakah pendapat doktor terhadap vitamin untuk kesihatan mata?

Kini ada banyak jenis pil vitamin mengandungi lutein dan zeaxanthin. Bagaimanapun, ada pelbagai pendapat mengenai keberkesanan vitamin untuk kesihatan mata. Ini kerana kesannya hanya dapat diketahui selepas masa lama iaitu melebihi 30 tahun.

Anda disaran mengambilnya setiap hari bagi membantu kesihatan mata anda. Pun begitu, ada juga percanggahan pendapat dalam pemakanan tambahan ini. Oleh itu, pengambilan pemakanan seimbang yang mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran segar dapat membantu dalam kesihatan mata.

Oleh kerana vitamin yang dimakan perlu diproses sebelum digunakan, vitamin dalam bentuk semula jadi daripada buah dan sayur lebih baik. Bagaimanapun, bagi mendapat jumlah antioksida mencukupi untuk kesihatan mata, kuantiti sayur dan buah yang perlu dimakan sangat banyak.

Justeru, makanan tambahan daripada sayur dan buah mengandungi lutein dan zeaxanthin sangat digalakkan untuk menjaga kesihatan mata.

Biarpun kesan antioksida ke atas mata tidak dapat dibuktikan, banyak kajian menunjukkan pemakanan sihat dan kaya bahan antioksida tetap memberi manfaat kepada tubuh secara keseluruhan.

Ini kerana ia dapat mencegah kanser yang disebabkan aktiviti radikal bebas dalam badan yang tinggi. Kesan radikal bebas ini menyebabkan kanser, penyakit kronik dan penuaan.



Apakah pengalaman doktor dengan pesakit yang menjaga pemakanan mereka dan kesihatan mata?

Saya dapati mereka yang banyak makan sayur, ulam dan ikan ketika muda mempunyai retina sihat dan tiada tanda awal degenerasi retina berbanding mereka yang kurang makan ikan dan sayur.

Pesakit yang merokok mengalami tanda awal degenerasi retina dan katarak pada umur lebih muda. Setakat ini memang terbukti bahawa pemakanan sihat dan seimbang dengan melebihkan pengambilan buah-buahan dan sayuran adalah baik untuk kesihatan mata.



Ingatan penting untuk mata yang sihat

  • Tentukan pemakanan yang baik dan seimbang (dengan sekurang-kurangnya lima hidangan sayur dan buah setiap hari)
  • Berbincang cara menjaga kesihatan mata dengan doktor mata anda

    <> Tentukan mata anda diperiksa sekurang-kurangnya dua tahun sekali jika berumur kurang 40 tahun dan sekurang-kurangnya setahun sekali jika umur melebihi 40 tahun.
  •  

    Lampiran:Tiada rekod