Kategori:Makluman
 

Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, di samping kita mempertingkatkan usaha dalam mendidik anak-anak dan ahli keluarga agar menyempurnakan kewajipan masing-masing. Semoga dengannya kita memperolehi keberkatan dan keredaan serta perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya golongan remaja dan belia adalah golongan yang diharapkan untuk menjadi pemimpin di masa akan datang. Bangun dan jatuhnya sesebuah bangsa dan negara, banyak terletak kepada golongan remaja dan belia. Jika mereka rosak, sudah pasti bangsa dan negara akan jatuh pada masa hadapan. Tetapi, jika baik remaja dan belianya, maka bangsa dan negara tersebut akan bangkit maju pada masa akan datang.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya kepesatan dan kepantasan teknologi maklumat dan komunikasi telah banyak merubah gaya kehidupan manusia sejagat, malahan juga mewujudkan situasi dan tekanan yang berubah-ubah di mana manusia selaku pelaku dan menerima perubahan sejagat (global) ini, suka atau tidak, pasti menghadapinya sebagai cabaran. Cara pemikiran dan gaya hidup yang berubah-ubah itu telah menjadi satu trend sosial masyarakat masa kini, di mana masyarakat lebih melandaskan tindak-tanduk mereka kepada logik akal sahaja tanpa banyak mengira nilai-nilai murni agama dan budaya. Sebagai contoh akhir-akhir ini, masyarakat kita sering berhadapan dengan pelbagai masalah gejala sosial, terutamanya di kalangan remaja dan belia seperti masalah penagihan dadah, meminum arak, berpeleseran, berseronok berlebih-lebihan, mendedahkan aurat, lelaki memakai anting-anting, seks bebas, homoseksual, lesbian, pembuangan anak damit dan sebagainya berlaku dalam masyarakat kita.
Gejala ini sudah pasti akan menjejaskan kehidupan, merendahkan martabat diri dan masyarakat serta memberi gambaran buruk kepada rakyat dan negara. Sesungguhnya gejala sosial ini sudah pasti akan mengundang kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala kerana Allah Subhanahu Wata'ala telah memperingatkan agar jangan melakukan maksiat dan kerosakan, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al Qashash ayat 77, tafsirnya :
"Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan".
Muslimin yang berbahagia,
Di antara kemungkaran yang ketara meningkat pada masa kini ialah penyalahgunaan dadah dan seks bebas. Ini terbukti dengan meningkatnya statistik kelahiran anak luar nikah dari setahun ke setahun. Umpamanya tahun 2005 sahaja telah mencatatkan seramai 95 orang remaja berumur di bawah 18 tahun yang melahirkan anak luar nikah, berbanding pada tahun 2004 hanya seramai 35 orang. Apa yang mendukacitakan, dari jumlah itu seramai 92 orang adalah beragama Islam. Antara punca bertambahnya kelahiran anak luar nikah adalah disebabkan oleh pergaulan bebas hingga melupakan hukum agama dan tatasusila.
Di antara punca lain lagi adalah terdapat pengaruh rakan sebaya, pengambilan dadah serta rasa ingin tahu dan ingin mencuba. Di samping itu terdapat juga di kalangan ibu bapa yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak dan kurang memberi perhatian. Dalam hal ini, sepatutnya ibu bapa atau penjaga hendaklah memata-matai dan mengawasi setiap gerak-geri dan tingkah laku anak-anak mereka agar tidak terjerumus ke dalam gejala sosial yang dinyatakan.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya peranan ibu bapa amatlah besar dalam pendidikan akhlak dan tingkah laku anak-anak mereka dengan menerapkan ilmu agama dan sosial dari kecil lagi kerana ibu bapalah yang bertanggungjawab membentuk sakhsiah atau keperibadian anak-anak mereka. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu ia berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Muslimin yang berbahagia,
Salah satu cara untuk membentuk remaja dan belia agar mempunyai keimanan yang kukuh serta memiliki akhlak yang mulia adalah dengan menyediakan program-program belia yang berkebajikan supaya dapat para belia menyertainya, umpamanya perkhemahan belia, rekreasi sambil belajar, forum belia, musabaqah tilawatil Qur'an belia, kelas urusan rumahtangga dan banyak lagi. Selain daripada itu, terdapat juga berbagai aktiviti dan program telah disediakan untuk remaja dan belia yang boleh diikuti di masjid-masjid seperti kelas-kelas Al-Qur'an dan muqaddam, kelas-kelas bimbingan, aktiviti riadah dan kesenian, aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan dan sebagainya.
Akhirnya marilah kita selaku ibu bapa, rakyat, ahli-ahli pertubuhan, jabatan-jabatan kerajaan dan swasta bersama-sama meningkatkan usaha dan berganding bahu dalam membanteras gejala sosial yang sedang berlaku di negara kita demi menyahut hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Belia Asia Tenggara pada 13 April 2007 yang menginginkan agar belia di negara ini menjadi satu masyarakat belia yang konsisten kepada amalan-amalan beragama, kepada budi pekerti yang mulia serta sentiasa memahami akan harga diri mereka selaku aset negara. Mudah-mudahan dengan demikian, rakyat dan negara kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Anfaal ayat 25 tafsirnya :
"Dan jagalah diri kamu daripada seksa yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus tetapi akan menimpa kesemuanya. Dan ketahuilah bahawa Allah Subhanahu Wata'ala Maha Berat azab seksa-Nya".

Lampiran:Tiada rekod