Kategori:Makluman
 
Dakwah bermaksud gerakan yang dilancarkan untuk mengajak dan menyeru orang ramai kepada agama. Ianya adalah usaha yang dilakukan secara berterusan bagi menyampai, mengajak atau menyeru manusia untuk mengenali Islam, menerima dan menghayatinya. Perkataan dakwah itu sendiri berasal dari bahasa Arab yang memberi maksud meminta tolong, beribadat, memandu, menjemput, mengajak, memanggil, menyeru dan melaung.
Memetik kata – kata Muhammad al-Ghazali yang menjelaskan maksud dakwah sebagai satu program yang lengkap yang mana kesemua peringkatnya mengandungi kesemua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup bagi menyingkap jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka.
Manakala Dr. Rauf Shalabi menerangkan bahawa dakwah itu ialah gerakan membawa atau mengubah masyarakat daripada keadaan kufur kepada keadaan iman, daripada keadaan kegelapan kepada keadaan cahaya dan daripada keadaan sempit kepada keadaan lapang sama ada di dunia dan di akhirat.
Inisiatif kerajaan untuk menganjurkan semula bulan dakwah setelah hampir 31 tahun ia tidak dilaksanakan merupakan satu usaha yang terpuji dan wajar mendapat sokongan dari segenap pihak. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bulan dakwah yang dianjurkan dalam masa sebulan setengah bermula 15 Feb hingga 31 Mac 2009 bertujuan untuk mengubah mentaliti masyarakat bahawa dakwah itu bukan hanya dalam bentuk ceramah, syarahan dan forum yang dianjurkan di masjid dan surau kepada satu usaha yang lebih praktikal, lebih mudah difahami dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.
Realiti masyarakat hari ini melihat dakwah sebagai satu program yang bermusim merupakan satu tanggapan yang negatif. Oleh itu, saya melihat bulan dakwah ini sebagai perintis untuk membumikan dakwah dikalangan masyarakat.
Golongan remaja perlu dijadikan fokus untuk memberikan kesedaran kepada mereka tentang tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Fenomena gejala sosial yang berlaku berleluasa terhadap remaja hari ini merupakan satu perkara yang membimbangkan semua pihak.
Baru – baru ini kita digemparkan dengan kejadian pergaduhan yang melibatkan pelajar yang hampir membawa kematian yang berlaku di negeri Selangor. Kes – kes sedemikian bukan satu perkara baru. Sebelum ini pun sudah ada kes pergaduhan pelajar yang melibatkan kematian.
Masalah pelajar yang terlibat dalam gejala seks bebas juga perlu diberi perhatian serius. Apa yang menyedihkan ialah penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun iaitu ketika mereka mereka berada di tingkatan satu dan dua.
Pada 14 febuari yang lepas, sebuah akhbar tempatan telah mendedahkan beberapa puluh orang remaja telah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana melakukan seks bebas di beberapa buah tempat pusat rekreasi dan hotel seluruh negara. Antara alasan yang diberikan konon – kononnya kerana ingin meraikan sambutan hari kekasih. Ini merupakan salah satu petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia berada dalam keadaan serius.
Justeru, saya melihat bulan dakwah ini sebagai salah satu mekanisme bagi mengurangkan kadar permasalahan gejala sosial yang berlaku dikalangan remaja. Seharusnya remaja tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas kesalahan dan kesilapan yang telah mereka lakukan. Banyak faktor lain yang membawa mereka terlibat dalam gejala tersebut. Antaranya faktor keluarga, rakan sebaya, persekitaran, dan media massa.
Sempena bulan dakwah ini, ibu bapa perlu dilibatkan sekali dalam aktiviti – aktiviti kesedaran dan tanggungjawab untuk mendidik anak – anak dengan pendidikan agama. Media massa pula perlu merancakkan lagi gelombang kesedaran untuk berdakwah kepada masyarakat Malaysia dengan menyediakan perancangan yang strategik bagi menarik minat masyarakat untuk kembali kepada agama. Program – program hiburan dan kebudayaan berbentuk kerohanian perlu diperkasakan.
Manakala pihak pentadbiran dan pemimpin negara hendaklah menunjukkan akhlak dan sikap yang terpuji kepada masyarakat. Saya amat tertarik dengan kempen senyum dan salam yang dianjurkan oleh salah sebuah agensi kerajaan di negeri Selangor. Mungkin ia boleh dicadangkan diperingkat persekutuan dalam bulan dakwah ini. Sedia maklum,salam itu bermaksud mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kepada orang lain.
Disamping itu, gelombang bulan dakwah ini juga boleh diperhangatkan lagi dengan edaran – edaran risalah tentang kefahaman Islam. Edaran risalah ini bukan hanya tertumpu ditempat – tempat tertentu sahaja malahan ia perlu digerakkkan secara kolektif di pasar raya – pasar raya, pusat – pusat rekreasi dan hotel – hotel diseluruh negara. Ini kerana tempat – tempat sedemikian menjadi tumpuan remaja melakukan aktiviti yang tidak bermoral.
Seterusnya saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya mewujudkan sukarelawaan pendakwah terlatih ( SPT ) bagi melancarkan gerak kerja gelombang bulan dakwah. Kita perlu mengakui akan kebenaran kata – kata daripada Dr. Yusuf al – Qardawi yang menyebut sesungguhnya kewajipan yang ada lebih banyak daripada waktu yang ada.
Sewajarnya bulan dakwah ini digerakkan oleh semua pihak bermula dari golongan atasan hingga kepada golongan bawahan bagi memastikan bulan dakwah yang dijalankan ini benar – benar memberi impak yang positif kepada semua pihak .


Dipetik dari:
Mohd Khairul Hidayat Berahim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Melaka ( PERSAMA )
Universiti Malaya.
Lampiran:Tiada rekod