Kategori:MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN
 

Kerajaan Terengganu memperkenalkan skim pembiayaan rawatan pelajar cacat pengli­hatan dan pendengaran bagi membolehkan mereka mendapat rawatan secara percuma di mana-mana pusat rawatan di dalam dan luar negara.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan tanpa had kepada setiap pelajar berkenaan sekalipun ia mencecah jutaan ringgit asalkan mereka yang kurang bernasib baik mendapat pembelaan sewajarnya.
Menurutnya, buat permulaan skim rawa­tan pelajar cacat penglihatan diperkenalkan dan akan disusuli dengan pembiayaan ra­watan bagi mereka yang cacat pendengaran.
"Walaupun peruntukan untuk mendapat­kan rawatan melebihi RM10 000 seorang, kita akan tetap membantu dan mereka yang me­mohon dikehendaki mendapat pengesahan daripada pakar perubatan atau mana-mana institusi perubatan terlebih dahulu;" katanya.
Beliau berkata demikian selepas meras­mikan Program Prihatin Menteri Besar Ber­sama Warga Pendidikan Khas di Wisma Da­rul Iman di sini hari ini.
Program sehari yang dipenuhi pelbagai program termasuk pemeriksaan mata murid bermasalah penglihatan itu adalah anjuran bersama kerajaan negeri dan Jabatan Pen­didikan Negeri.Mengulas lanjut Ahmad berkata, usaha memperkenalkan skim tersebut adalah hasil daripada perjumpaan yang diadakan dengan kanak-kanak kurang bernasib baik pada 18 Oktober tahun lepas.
Menurutnya, selepas pertemuan itu beliau memikirkan satu kaedah untuk menangani masalah yang dihadapi itu.
"Akhirnya kita meminta Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri menghubungi Hospital Ma­ta Tun Hussien Onn, Kuala Lumpur untuk mendapatkan kepastian sama ada mereka boleh datang sendiri ke negeri ini untuk melakukan pemeriksaan awal terhadap pe­lajar berkenaan,”katanya.
Ahmad berkata, selepas dipersetujui kerajaan negeri mengambil keputusan untuk meng­hantar pelajar bermasalah mendapatkan ra­watan di hospital tersebut dengan kos rawatan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.Beliau menambah, mereka yang diutamakan adalah pelajar yang mempunyai potensi untuk dipulihkan.
Katanya, mereka yang dihantar ke Hospital Tun Hussien Onn untuk membuat pemeriksaan lanjut sama ada untuk membuat pembedahan atau penggantian peralatan atau sebagainya.
"Kerajaan negeri akan menanggung segala kos rawatan yang dikenakan terhadap pelajar terbabit dan kita bersedia membelanjakan beberapa juta sekali pun demi memulihkan penglihatan mereka," katanya.

Lampiran:Papar Fail Lampiran(PDF)