Kategori:Zakat
 


PENGUMUMAN KADAR FITRAH BAGI NEGERI TERENGGANU TAHUN 1433 H / 2012 M

OLEH
YANG DI PERTUA
MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU TERENGGANU

Setelah mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktaffi Billah Shah, Sultan Negeri  Terengganu Darul Iman, maka dengan ini saya mengisytiharkan kadar Fitrah bagi negeri Terengganu tahun 1433H / 2012M adalah  sebagaimana berikut :

RM 7.60

RM 7.00

RM 4.50

Sehubungan dengan ini, mana-mana orang Islam yang akan menunaikan Fitrah, boleh berbuat demikian sama ada dengan tunai mengikut kadar di atas, atau dibayar dengan beras dengan kadar timbangan 2.60 kilogram (M)  atau dengan cupak bersamaan 2.97 cupak (M).

Timbangan berat tersebut adalah mengikut nilaian berat 1 gantang Baghdad.

Bagi mana-mana orang Islam yang menunaikan Fitrah dengan tunai, pembayaran Fitrah adalah tidak kurang  daripada RM 4.50 setiap orang dan bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis yang baik, maka kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakan iaitu mengikut nilaian tunai timbangan beras seberat 2.60 kilogram. Sebagai makluman, kadar yang diperolehi tersebut adalah berdasarkan kepada harga beras gred Super di pasaran tempatan yang mana nilaiannya bersamaan dengan beras gred 15% hancur, 10 % hancur serta 5 % hancur.

Untuk makluman juga, hasil daripada tinjauan harga beras di pasar-pasar serta kedai-kedai di seluruh negeri Terengganu, pihak pengurusan mendapati kadar harga beras tidak berubah dari tahun sebelumnya. Akan tetapi kadar Fitrah telah berubah bagi tahun ini berbanding tahun lepas disebabkan perubahan kepada pengukuran timbangan 1 Gantang Baghdad daripada 2.7 kg kepada 2.6 kg.

Bagi maksud pembayaran pula, mana-mana orang Islam di negeri ini bolehlah menunaikan Fitrah tersebut di mana-mana kaunter bayaran zakat MAIDAM dari jam 8.30 pagi sehingga 4.00 petang pada hari Ahad hingga Rabu dan dari 8.30 pagi hingga 2.30 petang pada hari Khamis. Namun begitu, bermula tarikh 5 hingga 18 Ogos 2012, kaunter bayaran zakat dibuka 7 hari seminggu di semua kaunter MAIDAM bermula 8.30 pagi hingga 4.00 petang termasuk hari Khamis.

Selain itu, MAIDAM telah melantik amil seramai 1,173 orang yang akan beroperasi di setiap masjid dan surau di negeri ini bagi mengutip Fitrah dan zakat Harta di samping boleh juga dibayar melalui SMS untuk pelanggan CELCOM dan MAXIS. Untuk makluman juga, adalah dilarang untuk mana-mana individu muslim membayar Fitrah melalui Perbankan Internet kerana kemudahan tersebut hanyalah untuk kemudahan pembayaran zakat harta sahaja.

Perlu diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan jika mana-mana individu yang membayar zakat bukan kepada amil yang dilantik oleh MAIDAM dan ini telah dinyatakan di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Tahun 1422H/2001M seksyen 41.

Dalam enakmen yang sama juga seksyen 40, telah memberi amaran kepada mana-mana individu yang memungut zakat tanpa mendapat tauliah daripada MAIDAM, boleh ditangkap dan didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan wang yang dikutip tersebut akan dirampas.

Selain itu, adalah menjadi kesalahan juga sekiranya mana-mana orang Islam di negeri ini membayar Fitrah selain kepada MAIDAM serta wakilnya. Ini telah termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Tahun 1422H/2001M seksyen 20 (b) yang mana ianya boleh dihukum denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Untuk makluman juga, pada tahun lepas MAIDAM telah menerima kutipan Fitrah sebanyak RM 5.7 juta dan ini menyumbang kepada 6.5 % daripada jumlah keseluruhan kutipan zakat RM 88.2 juta dengan 790,137 orang pembayar serta tanggungan. Dianggarkan pada tahun ini, MAIDAM mensasarkan kutipan Fitrah sekitar RM 5.8 juta.

Maka dengan ini saya menyeru dan menasihatkan kepada semua orang Islam di negeri Terengganu ini untuk menunaikan Fitrah dengan seawal yang mungkin bagi mengelakkan sebarang kesukaran yang tidak diingini berlaku pada hari terakhir waktu wajib pembayarannya iaitu sebelum solat IdilFitri. Ini kerana terdapat sesetengah orang menunggu sehingga saat akhir waktu pembayarannya sehingga lupa untuk menunaikannya. Adalah dinasihatkan pembayaran hendaklah dibuat bermula 1 Ramadhan.

 Sekian, terima kasih.

27 Syaaban 1433
17 Julai 2012

Lampiran:Tiada rekod