Kategori:Keratan Akhbar
 

(Berita Harian 19 Mac 2006)

MAJALAH  tribulanan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terenganu, Al-Fikrah adalah majalah bertulisan jawi yang unggul di negara ini. Ia satu-satunya majalah bertulisan jawi yang muncul ketika penerbitan bahan bacaan dalam tulisan jawi hampir pupus.

Al-Fikrah kelihatan berbeza dengan majalah agama seperti  sinar Rohani (terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ) dan warta Jabatan Agama Johor ( terbitan Jabatan Agama Johor). Sinar Rohani ialah majalah bertulisan rumi. Tulisan jawi diletakkan dibahagian belakang sebagai pelengkap. Warta ialah majalah bertulisan jawi yang memuatkan tulisan rumi sebagai tambahan.
Majalah Al-Fikrah sebagai penjana Islam Hadhari, tidak memuatkan sebarang artikel dalam tulisan rumi seperti mana yang dilakukan majalah Sinar Rohani dan Warta. Hal ini mamberi kepuasan kepada pembaca yang memerlukan bahan bacaan bertulisan jawi. Risalah dan bahan bacaan yang diterbitkan kebanyakkan masjid dan badan agama dan umumnya masa ini dalam tulisan rumi.

Kebelakangan ini, kita memerlukan banyak bahan bacaan dalam tulisan jawi. Sekiranya matlamat penerbitan majalah itu mahu disebarkan kepada generasi muda, seharusnya bahan bacaan untuk mereka  di majalah itu dibuat dalam bentuk tulisan jawi yang sesuai, bukan dalam tulisan rumi. Selain memuatkan artikel berkaitan akidah, pendidikan, sejarah, akhlak, hadis dan khutbah jumaat, Al-Fikrah turut memuatkan cerpen dan sajak yang dihasilkan penulis terkenal  Terengganu seperti Sharif Putera (cerpen: Hikmah Berbadan hangat) dan Zahari Hasib (sajak: Kesementaraan) di samping  penulis muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam yang duduk sebagai penasihat penerbitan, Datuk Alwi Muhamad berkata, Al-Fikrah sebuah majalah yang baru saja diterbitkan Maidam. Kelahirannya akan dapat memaparkan kumpasan dan perbahasaan ke arah membangunkan umat yang mencintai ilmu. Maidam, katanya bukan saja berperanan mengagihkan wang zakat atau mengurus harta wakaf dan Baitulmal, tatapi turut menterjemah konsep ‘ Islam Hadhari Terengganu Bestari’.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yakin semangat ‘ Batu Bersurat Terengganu’ sebagai mercu tanda kelangsungan jiwa Islam yang bersifat segar dan sentiasa berjiwa maju di kalangan umat Islam negeri  itu. Beliau mahukan Al-Fikrah yang diterbitkan dalam keadaan sederhana akan dipertingkat mutu dan peranannya sebagai bahan bacaan di persada tanah air.
 

Lampiran:Tiada rekod