Kategori:Keratan Akhbar
 

Sumber : Harian Metro 11/06/2010

Kemaman : Penderitaan seorang ibu tunggal, Zainun Ismail, 53, dari Kampung Banggol yang menghidap buah pinggang kronik sejak tujuh tahun lalu mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM)yang menghulurkan bantuan RM 3,000 bagi menampung kos perbelanjaan perubatannya.

Sumbangan itu diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri kepada Zainun sempena Majlis Jalinan Kasih dan Perasmian Persatuan Ibu Tunggal Kemaman, di sini semalam.

Zainun berkata, kprihatinan MAIDAM menghulurkan bantuan membuatkannya lega kerana dapat meringankan beban menampung kos perubatan.

"Saya akan gunakan wang ini untuk pembedahan pembuluh darah tiruan bagi membolehkan saya membuat hemodialisis tanpa perlu bergantung kepada rawatan CAPD yang menggunakan beg air untuk mencuci buah pinggang setiap hari.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada nasihat doktor. Tambahan pula pembedahan pembuluh darah itu memerlukan sekuarang-kurangnya RM 7,000. Saya akan mengumpul wang hingga cukup untuk menampung kos pembedahan tetapi jika tidak perlu, ia boleh digunakan untuk membeli beg air.

"Saya gembira apabila MAIDAM datang menjenguk di rumah dan berjanji menghulurkan bantuan, jadi ringan beban ditanggung. Sebelum ini, saya mendapat bantuan kenalan rapat dan pihak lain yang bermurah hati," katanya.

Sementara itu, Pegawai MAIDAM Daerah, Mohd Andri Abu Bakar berkata, sebaik akhbar melaporkan masalah dihadapi Zainun, beliau dan beberapa kakitangan MAIDAM segera ke rumah wanita itu untuk membuat siasatan.

"Hasil siasatan kami mendapati Zainun layak mendapat bantuan bagi menampung kos rawatan dan ubat. Tambahan pula, dia ibu tunggal dan tidak mampu lagi bekerja kerana menghidap penyakit buah pinngang kronik," katanya.

Lampiran: