Kategori:Artikel
 

TAKLIMAT 1 MALAYSIA 2010

 

KUALA TERENGGANU 9 Mac – Satu program Taklimat 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu telah diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman. Program bermula pada jam 3.00 petang itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan 1Malaysia, Bacaan Doa dan kemudian ucapan aluan oleh Y.B. Haji Muhammad Ramli bin Nuh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu.

Taklimat 1Malaysia tersebut telah disampaikan oleh Y. Bhg. Dato’ Haji Sahlan Ismail, Setiausaha Politik kepada Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia mendapat sambutan yang tidak diduga daripada rakyat di negeri ini. Kehadiran mereka yang terdiri dari pelbagai bangsa, usia dan agama ini seolah-olah mencerminkan keinginan rakyat untuk mengetahui dengan lebih jelas tentang konsep 1Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak.  

“Satu kaum terima keunikan kaum yang lain, hidup bersama saling hormat menghormati, bukan setakat bertoleransi”. Berikut merupakan salah satu perkara yang beliau sampaikan kepada pengunjung untuk menerangkan maksud bahawa semua rakyat tidak mengira bangsa, agama dan peringkat umur hendaklah berganding bahu, bersatu hati dan menjauhkan persengketaan bagi menjamin kehidupan yang aman dan sekali gus dapat membangunkan Negara Malaysia supaya menjadi Negara yang disegani di dunia.

Selain itu, beliau juga menekankan tentang penjawat awam mestilah bijak menguruskan kerja seharian supaya selaras dengan tema kerajaan iaitu “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”. Beliau menegaskan bahawa bagi memuaskan hati semua rakyat, penjawat awam mestilah melakukan kerja mengikut piagam pelanggan yang telah dijanjikan di jabatan mereka. Antara pencapaian yang telah dihasilkan ialah, Pasport siap dalam masa 1 jam, MyKad siap dalam masa 1 jam, Masa menunggu di hospital 30 minit dan lain-lain lagi.

Taklimat yang berakhir pada jam 5.30 petang diakhiri dengan sesi soal jawab bersama pengunjung dan seterusnya dengan upacara menyampaikan cenderamata daripada Kerajaan Negeri Terengganu sebagai tanda kenang-kenangan sebelum jamuan ringan diadakan.

 

Lampiran:Tiada rekod