Kategori:Keratan Akhbar
 

KUALA TERENGGANU - Terengganu dijangka menghadapi masalah bekalan air menjelang tahun 2018 berikutan kapasiti operasi kebanyakan loji rawatan air sedia ada telah mencapai tahap maksimum.
    
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) Husain Embong berkata daripada segi jangka panjang kapasiti keupayaan 12 loji Satu hampir mencapai tahap maksimum dan tidak boleh lagi ditambah.
    
"Kami merancang membina sebuah loji baharu di Kuala Terengganu utara untuk memastikan bekalan air tidak terganggu," katanya kepada pemberita di sini.
    
Beliau berkata loji baharu yang dianggar menelan belanja RM400 juta itu mempunyai kapasiti 200 juta liter sehari.
Pada masa ini, Satu menggunakan loji Kepong dan loji Bukit Losong untuk penduduk Kuala Terengganu.
    
Penduduk Kuala Terengganu khususnya akan menghadapi masalah bekalan air dalam tempoh itu jika loji baharu tidak menjadi kenyataan, katanya.   
    
Husain berkata Satu juga bercadang menaiktaraf loji air Bukit Sah Kemaman serta membina loji baharu untuk memenuhi keperluan penduduk dan industri di daerah itu. - Bernama

Sumber Sinar Harian 25 Ogos 2013

Lampiran:Tiada rekod