Kategori:Keratan Akhbar
 

KEMAMAN – Sejak ditubuhkan 20 tahun lalu, Kolej Universiti TATI (Tatiuc) kini berjaya melahirkan seramai 3,334 graduan berkualiti dengan purata graduan telah bekerja memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM7,000 sebulan.

Rektor Tatiuc, Dr Zunaidi Ibrahim berkata, daripada jumlah pelajar yang menamatkan pengajian setiap tahun, lebih 60 peratus berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan dan 80 peratus graduan berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh setahun.

 Katanya, 20 peratus lagi memilih menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi iaitu ijazah sarjana muda dan sarjana di universiti tempatan serta luar negara.

“Kira-kira 35 peratus graduan yang telah bekerja memasuki sektor swasta tempatan dan 20 peratus bekerja dalam sektor swasta multinasional, sementara 25 peratus lagi graduan bekerja di sektor lain iaitu kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perusahaan sendiri.

“Kebanyakan graduan diambil bekerja oleh syarikat minyak dan gas terkemuka kerana kita sediakan kursus yang bertepatan dengan kehendak industri setempat, sekali gus menjadikan graduan Tatiuc sangat sinonim dengan syarikat minyak dan gas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Antara syarikat yang mengambil graduan Tatiuc sebagai pekerja ialah Petronas, Epic, Halliburton, Schlumberger, ExxonMobil, PFCE Sdn Bhd, Tanjung Offshore Bhd, Panasonic (M) Sdn Bhd, Eastern Steel Sdn Bhd, DRB-Hicom, Ryoka (M) Sdn Bhd, AIK Technology, Samudera Oil Services Sdn Bhd, Toyota Sdn Bhd dan  Lynas Sdn Bhd.

Tatiuc ditubuhkan pada 11 Jun 1993 di Teluk Kalong, Kijal, dengan misi melahirkan teknokrat yang berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan berketerampilan dalam industri, menawarkan program berteraskan teknologi terutama program dalam bidang teknologi pembuatan, teknologi elektronik dan automasi, teknologi kejuruteraan kimia dan polimer serta teknologi media dan komputer.

Tiga program mendapat permintaan tinggi

Mengulas lanjut, Zunaidi berkata, terdapat tiga kursus utama mendapat permintaan tinggi daripada pelajar iaitu Ujian Tanpa Musnah (NDT), ‘Remote Operating Vehicle’ (ROV) dan ‘Fast Maintanance’.

Katanya, kursus ROV terbahagi kepada dua iaitu ROV penyelenggaraan dan pengendalian ROV, yang mana kemahiran itu diaplikasikan di pelantar minyak untuk operasi di dasar laut.

“Persijilan yang ditawarkan ini bertaraf antarabangsa, sebab itu gaji diperoleh pekerja tinggi kerana  sijil yang dikeluarkan adalah sijil antarabangsa.

“Kursus jangka pendek pula selari program ijazah dan diploma yang ditawarkan, sebab itu kita terima kemasukan pelajar yang konsisten,” katanya.

Menurutnya, bagi kursus jangka pendek dalam bidang minyak dan gas, seramai 165 graduan menamatkan pengajian pada 2011 hingga 2012, sekali gus menjadi penyumbang tenaga kerja kepada industri minyak dan gas setempat.

Graduan ijazah teramai 2013

Dalam pada itu, Tatiuc pada tahun ini melakar sejarah tersendiri kerana mencatatkan jumlah graduan ijazah sarjana muda paling ramai pada majlis konvokesyen institusi itu yang akan diadakan pada 28 September depan di Dewan Canselor Tatiuc yang telah siap.

Zunaidi berkata, sebelum ini jumlah graduan ijazah sarjana muda tidak ramai kerana hanya satu program ditawarkan tetapi graduan ijazah sarjana muda kini bertambah kerana jumlah program peringkat ijazah yang ditawarkan meningkat kepada lima program.

Jumlah graduan Tatiuc tahun ini seramai 426 orang, terdiri daripada pelajar ijazah sarjana muda, diploma, program asas dan juga sijil.

Sementara itu, sempena pengambilan pelajar baru bagi program ijazah sarjana muda sesi 2013/2014 pada hari ini, dijangka seramai 200 hingga 250 pelajar akan mendaftar.

Katanya, secara keseluruhan pihaknya menerima 10,000 permohonan untuk program ijazah dan diploma pada sesi kali ini tetapi jumlah pelajar diterima terhad berdasarkan kuota mengikut Pelan Strategik Tatiuc.

“Perancangan kita tahun ini hanya 1,000 pelajar sahaja kita boleh terima dan insya-ALLAH tahun depan kita akan buat peningkatan pengambilan pelajar berdasarkan unjuran yang kita buat,” katanya.

Sumber Sinar Harian 25 Ogos 2013

Lampiran:Tiada rekod