Kategori:Keratan Akhbar
 Oleh Shaarani Ismail Cemerlang dalam UPSR walaupun di pedalaman dan tersisih daripada arus pembangunan JERTIH: Kejayaan Terengganu mengungguli kecemerlangan pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu dicontohi dan diikuti negeri lain bagi mengekalkan tradisi kecemerlangan. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kejayaan Terengganu itu menunjukkan tiada halangan untuk berjaya meskipun berada di pedalaman dan tersisih daripada arus pembangunan. "Ingin saya tekankan, bangsa, warna kulit, lokasi mereka di pedalaman atau tersisih bukanlah halangan bagi mencapai kecemerlangan. "Saya harap apa yang ditonjolkan Terengganu dapat ditiru dan dicontohi negeri lain bagi memastikan kecemerlangan pendidikan," katanya selepas menyampaikan anugerah pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang UPSR 2005, di Maktab Perguruan Tengku Mizan, di sini malam kelmarin. Seramai 55 pelajar cemerlang UPSR 2005 diraikan pada majlis itu. Setiap seorang menerima seutas jam tangan, sijil penghargaan dan hadiah iringan daripada Kerajaan Terengganu. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Ahamad Sipon dan Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Salleh Hassan. Terengganu mengekalkan kecemerlangan pencapaian UPSR dengan pencapaian 9.2 peratus daripada keseluruhan pelajar mendapat 5A pada 2001, 10 peratus (2001), 10.8 peratus (2003), 11 peratus (2004) dan 12 peratus 5A tahun ini. Hishammuddin berkata, kejayaan yang dicipta Terengganu itu bukanlah sekelip mata tetapi usaha berterusan sekian lama sejak Barisan Nasional menjadi pembangkang di Terengganu. "Kini jelas apa yang berjaya dicapai Terengganu diharap mampu menjadi contoh kepada negeri lain," katanya. Mengenai usaha menaik taraf sekolah agama sebagaimana yang diumumkan beliau sebelum ini, Hishammuddin berkata, apa yang dilaksanakan bertujuan memastikan pelajar sekolah agama berkembang seiring dengan arus perubahan dan teknologi. "Saya melihat sekolah agama tiada bezanya dengan sekolah lain, seharusnya pelajar sekolah agama harus seiring dengan arus perubahan dan dapat menggunakan teknologi terkini," katanya. Pada majlis sama, Hishammuddin mengumumkan keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan diketahui 22 Disember ini. FAKTA NOMBOR 55 - Pelajar cemerlang UPSR 2005 diraikan
Lampiran:Tiada rekod