Kategori:Keratan Akhbar
 KUALA TERENGGANU 3 Julai � Sering keletihan selepas membantu ibu mencuci kereta setiap minggu, tiga kanak-kanak berumur 11 tahun mencipta sebuah robot yang dikenali sebagai Buttler Bots bagi membantu mereka melakukan tugas itu. Tiga murid Sekolah Rantau Petronas, Kerteh di Kemaman itu bukan sahaja berjaya mencipta robot yang mampu menyedut habuk tetapi juga berkebolehan mengering dan mengilat kereta. Salah seorang daripada murid tersebut, Danial Imran Azmi berkata, idea mencipta robot itu tercetus apabila dia sering merasa letih selepas membantu mencuci kereta jenis Honda CRV milik ibunya. ��Kereta itu sangat besar, jadi saya merasa penat selepas mencuci kereta ibu,� katanya selepas diumumkan sebagai juara kategori terbuka Pertandingan Robotik Kebangsaan 2007 peringkat negeri Terengganu yang diadakan di Sekolah Menengah Padang Negara di sini semalam. Tiga pelajar itu menewaskan enam lagi kumpulan termasuk peserta sekolah menengah dalam pertandingan tersebut dan mereka membawa pulang sijil dan satu set Lego pendidikan. Ciptaan ketiga-tiga itu akan memasuki pertandingan akhir Pertandingan Robotik Kebangsaan 2007 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Terengganu di sini selama empat hari bermula 15 Julai ini. Danial berkata, dia mencipta Buttler Bots dengan bantuan dua rakannya, Ali Imran Kamarull Ariffin dan Mohd. Iqbal Mukhlis Hazami Zamri dan dibantu oleh guru penasihat, Adham Shari Aman. Katanya, mereka bertiga yang berasal dari Kampung Baru, Kerteh itu merupakan kawan baik sejak daripada kecil, berpakat untuk mencipta robot yang terdiri daripada 50 peratus Lego pendidikan. Beliau menambah, selain daripada lego pendidikan, mereka menggunakan barangan yang terpakai seperti sepan untuk mengilat dan fiber mikro untuk menyedut habuk. �Dengan terciptanya robot ini, saya tidak perlu khuatir lagi apabila diminta oleh ibu untuk mencuci keretanya, bila-bila masa pun boleh,� katanya tersenyum. Daniel berkata, bagi memasuki pertandingan akhir, mereka bertiga akan meningkatkan keupayaan Buttler Bots yang kini beroperasi secara manual kepada automatik sepenuhnya. �Kami berharap Buttler Bots akan menjadi juara dalam peringkat akhir pertandingan ini nanti,� katanya.
Lampiran:Tiada rekod