Kategori:Keratan Akhbar
 CoRal Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Terengganu meletakkan replika Batu Bersurat, tepak sirih, tengkolok, keris dan perahu payang sebagai khazanah menarik untuk industri pelancongan KEJAYAAN Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (CoRal Malaysia) meletakkan enam replika warisan Terengganu di dasar laut Pulau Bidong, Terengganu membolehkan pulau itu bukan saja akan dikenali sebagai pulau yang mempunyai khazanah pelarian yang sarat 1001 cerita, bahkan perut lautnya turut menjanjikan 1001 khazanah menarik. Umum mengetahui Pulau Bidong yang terletak di Timur Laut perairan Terengganu iaitu kira-kira 30 batu nautika dari Kuala Terengganu pernah menjadi tempat perlindungan hampir 250,000 pelarian Vietnam yang lebih dikenali sebagai orang hanyut selama 16 tahun bermula Mei 1975 sebelum ditutup pada 1991. Tanggal 19 November lalu, sejarah tercipta dalam industri pelancongan apabila CoRal Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Terengganu melalui projek Galeri Dasar Laut meletakkan replika Gerbang Negeri Terengganu, Batu Bersurat, tepak sirih, tengkolok, keris dan perahu payang di dasar laut pulau itu. Lebih menarik projek itu dilaksanakan pada musim tengkujuh di mana semua pulau di Terengganu tidak lagi didatangi tetamu, tetapi cuaca baik pada siang hari membolehkan semua kerja menurunkan tukun tiruan bereka bentuk itu dengan selamat. Kecuali kejadian kren patah ketika meletak replika terakhir iaitu Gerbang Negeri Terengganu, semua lima replika lain kini menjanjikan pulangan pelaburan menarik kepada industri pelancongan negeri itu. Seramai 24 penyelam terdiri daripada sukarelawan CoRal Malaysia dibantu rakan institusi pengajian tinggi, Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem), kerja menurun replika yang konsepnya dihasilkan pakar tukun tiruan Kustem, dapat diselesaikan dalam tempoh lima jam. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, berkata kejayaan itu membuka pintu mengenai satu lagi cara untuk mempromosi warisan sejarah negara. "Kerajaan Negeri Terengganu yang tertarik dengan kertas kerja CoRal Malaysia untuk mewujudkan sebuah galeri tukun tiruan bereka bentuk (designed artificial reef) di dasar laut, membuka pintu pertama ke arah projek ini dengan menaja enam replika membabitkan entiti sejarah yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu dan Malaysia. "Projek lima tahun CoRal Malaysia ini didahului Kerajaan Terengganu kerana ia bukan saja mencatat satu lagi sejarah bagi Malaysia, bahkan mencipta kelainan membabitkan produk baru kepada sektor pelancongan negara ini," katanya. Lebih menarik replika yang diperbuat daripada gentian kaca yang diletakkan di dasar laut Pulau Bidong adalah tukun tiruan bereka bentuk di mana semua replika diletakkan di atas asas konkrit. CoRal Malaysia akan memastikan konkrit terbabit akan ditumbuhi terumbu karang yang boleh menyerlahkan keindahan replika terbabit. Presiden CoRal Malaysia, Jamhariah Jaafar, berkata pihaknya berterima kasih atas kepercayaan yang diberi Kerajaan Terengganu. "Pelaburan kecil ini bukan saja menghasilkan replika tukun tiruan yang indah, bahkan ia boleh menghasilkan pendapatan berganda kepada industri pelancongan Terengganu, sekiranya ia dipromosi secara besar-besaran," katanya. Katanya, diharapkan Galeri Dasar Laut yang bermula dengan zon ‘Mini Terengganu’ itu dapat dikembangkan kepada beberapa zon lain. Antara dalam perancangan ialah Zon Pertahanan yang dicadang untuk diletakkan pelbagai jenis peralatan dan jentera Angkatan Tentera Malaysia. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak, memberi kelulusan untuk CoRal Malaysia mendapat kerjasama daripada kementeriannya untuk tujuan itu. CoRal Malaysia juga mencadangkan supaya replika di Galeri Dasar Laut terus ditambah dan antara cadangannya ialah logo Kerajaan Terengganu, penyu yang menjadi lambang kemegahan Terengganu dan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu mengenal pasti maskot masing-masing untuk dijadikan replika. Selain itu, CoRal Malaysia merancang untuk mempromosikan Pulau Bidong sebagai ‘syurga bagi penyelam skuba’ selain berhasrat mewujudkan sebuah pulau yang bebas daripada pembangunan melampau pusat peranginan dan menjadikan ia destinasi selaman skuba dunia yang baru. Gerbang Negeri Terengganu - replika gerbang yang menjadi pintu masuk kawasan zon tukun Mini Terengganu. Pintu gerbang ini membolehkan penyelam skuba bergambar di bawah gantungan `plate' `Galeri Dasar Laut Terengganu, Malaysia' dan bakal menjadi bukti kepada penyelam yang menyelam di Pulau Bidong. FAKTA Batu Bersurat Terengganu - Batu bersurat yang paling tua dan tulisan jawi pertama ditemui di Malaysia. Catatan dipercayai dibuat pada 1303 dan ditemui pada 1903. Kandungan surat menyebut Islam sebagai agama rasmi dan hukum Islam. Perahu payang - replika perahu yang digunakan nelayan untuk menangkap ikan. Saiz sebenar perahu ialah 14.2 meter panjang, 2.27 meter lebar dan 3.1 meter tinggi tapi replika yang dibina ialah 7.5 meter panjang dan 2.75 meter lebar. Tepak sirih - Alat yang menjadi lambang tradisi Melayu sejak zaman berzaman. Tengkolok - pakaian beradat lelaki Melayu bagi menutup kepala yang digubah daripada kain empat segi diikat dengan bermacam bentuk dan gaya. Keris - menjadi lambang warisan bangsa Melayu sejak zaman berzaman.
Lampiran:Tiada rekod