Kategori:Keratan Akhbar
 Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Perdana UTM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTM telah mengadakan satu Program Khidmat Pendidikan dan Khidmat Masyarakat Terengganu Academic & Community Service 2005 (RAKAN TACS ’05) di Kg. Minda dan Kg. Talong, Hulu Dungun, Terengganu. Seramai 68 orang mahasiswa Kolej Perdana bersama-sama dengan Kapt. Prof. Madya Ahmad bin Hj. Khalid, Pengetua Kolej Perdana UTM selaku Urusetia Program berkenaan telah menjayakan program tersebut yang diadakan selama 7 hari bermula daripada 28 April 2005 dan berakhir pada 4 Mei 2005 lalu. Program yang julung-julung kali diadakan oleh Kolej Perdana UTM ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Abdul Latiff B. Awang, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu wakil rasmi kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu pada 28 April 2005 yang lalu. Menurut pengarah program RAKAN TACS ’05 iaitu Saudara Abdul Shahid b. Abu Bakar yang merupakan anak kelahiran Negeri Terengganu Darul Iman, program yang dianjurkan ini bertujuan untuk memberi khidmat pendidikan, motivasi kecemerlangan pelajaran dan sahsiah diri disamping membantu meningkatkan tahap pencapaian pelajar-pelajar khususnya kepada pelajar-pelajar tahun 4, 5 dan 6 sekolah sekitar kawasan Hulu Dungun Terengganu dalam peperiksaan UPSR yang bakal menjelang nanti. Matlamat program ini juga adalah untuk mendedahkan mahasiswa dengan cara hidup masyarakat luar bandar, mendekatkan mahasiswa dengan seluruh masyarakat setempat di samping dapat menghulurkan bantuan melalui aktiviti Bengkel Pengenalan Kepada Teknologi Gentian Kaca (Fibreglass) dan gotong-royong. Antara lain, program ini juga dapat memupuk hubungan silaturahim yang mesra di antara masyarakat setempat dan mahasiswa melalui aktiviti sukan & sukaneka, J-Robik Perdana dan ziarah sekampung di samping dapat mengenali budaya dan adat resam masyarakat setempat melalui Malam Kebudayaan yang diadakan ketika Majlis Penutup pada 2 Mei 2005 lalu. Ini adalah bertepatan dengan tema program ini sendiri iaitu "Budi Ditabur, Kasih Disemai". Pemilihan Kg. Minda dan Kg. Talong, Hulu Dungun Terengganu dibuat berdasarkan faktor geografi, keunikan bahasa dan budayanya yang begitu menarik. Malam Kebudayaan & Penutup telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Rosli b. Mat Hassan selaku Ahli Parlimen Dungun, Terengganu. Program RAKAN TACS '05 ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Program Khidmat Pendidikan dan Program Khidmat Masyarakat. Pelaksanaan bahagian pertama Program RAKAN TACS '05 ini dimulakan dengan Program Khidmat Pendidikan yang berlangsung selama 3 hari 2 malam melibatkan pelajar-pelajar di enam buah sekolah dalam daerah Hulu Dungun iaitu Sek. Keb. Jerangau, Sek. Keb. Lintang, Sek. Keb. Minda Talong, Sek. Keb. Bukit Besi, Sek. Keb. Kuala Jengal dan Sek. Keb. Pasir Raja. Sepanjang Program Khidmat Pendidikan ini dijalankan, seramai 98 orang pelajar yang terlibat ditempatkan di Sek. Keb. Minda Talong, Hulu Dungun, Terengganu. Seramai 25 orang fasilitator yang terdiri daripada peserta Program RAKAN TACS ’05 telah terlibat dalam mejayakan program ini. Pelbagai aktiviti pembelajaran telah dibuat sepanjang program ini berlangsung antaranya ialah J-Robik, Ice-Breaking, Ceramah Motivasi, Edu-Race, Pengenalan kepada Teknologi Maklumat (Information Technology) dan juga Malam Menginsafi Diri. Program Kem Pendidikan Perdana RAKAN TACS ’05 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM iaitu Prof. Ir. Dr. Alias b. Mohd. Noor pada 28 April 2005. Setiap peserta Program Khidmat Pendidikan dibahagikan kepada 10 kumpulan kecil bersama 2 orang fasilitator bagi setiap kumpulan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang Program Khidmat Pendidikan ini telah dirancang dengan teliti bagi memastikan objektif program ini tercapai dengan jayanya. Sepanjang Program Khidmat Pendidikan berlangsung, Bengkel Pengenalan Kepada Teknologi Fiberglass yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Abd. Saman b. Ab. Kader iaitu pensyarah daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM turut dijalankan serentak di mana peserta RAKAN TACS ’05 yang tidak terlibat dalam Program Khidmat Pendidikan telah diserap ke dalam bengkel ini. Melalui bengkel ini, para peserta telah berjaya menghasilkan 2 buah tempat mandi jenazah yang menggunakan bahan gentian kaca (Fiberglass) dan dihadiahkan kepada Masjid Kg. Minda dan Masjid Kg. Talong. Majlis Penutup Kem Pendidikan Perdana RAKAN TACS ’05 telah dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Terengganu iaitu Tuan Haji Abdullah b. Ali pada 30 April 2005. Program RAKAN TACS '05 diteruskan pada hari ke-3 iaitu pada 30 April 2005 sehingga 4 Mei 2005 dengan aktiviti Program Anak Angkat selama 5 hari 4 malam. Semua peserta RAKAN TACS '05 telah dibahagikan kepada 48 buah keluarga angkat terdiri daripada 2 buah kampung iaitu Kg. Minda dan Kg. Talong, Hulu Dungun Terengganu. Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang berlangsungnya program ini iaitu sukan & sukaneka, ziarah sekampung, J-Robik Perdana, gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan dan masjid di kedua-dua kampung, kenduri sekampung dan Malam Penutup & Kebudayaan yang melibatkan semua masyarakat kampung dan peserta RAKAN TACS ’05. Pelbagai kenangan pahit dan manis telah dilalui oleh semua peserta sepanjang bersama keluarga angkat masing-masing. Suasana Malam Penutup & Kebudayaan tersebut begitu meriah dengan pelbagai acara persembahan daripada pihak Kg. Minda dan Kg. Talong, Kelab Kesenian Parlimen Dungun dan peserta RAKAN TACS '05. Pihak Kg. Minda telah mempersembahkan tarian piring, sajak dan persembahan pantun empat kerat secara spontan dan sajak daripada Kg. Talong turut menyerikan lagi majlis berkenaan. Majlis turut diserikan lagi dengan acara persembahan tarian Ulek Mayang daripada pelajar Sek. Keb. Minda Talong dan Kelab Kesenian Parlimen Dungun turut mempersembahkan beberapa tarian tradisional daripada Negeri Terengganu. Persembahan yang ditunggu-tunggu ialah daripada peserta RAKAN TACS ’05 yang telah mempersembahkan tarian zapin dan kuda kepang yang dibawa khas daripada Negeri Johor. Pelbagai kenangan manis dan memori indah terpahat dalam hati peserta sehinggakan majlis perpisahan pada hari terakhir berlaku dalam keadaan suasana hening, syahdu dan telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri setiap peserta. Pengalaman bersama keluarga angkat sepanjang berlangsungnya program telah menjalinkan ikatan yang amat erat. Suasana Kg. Minda dan Kg. Talong yang damai dihiasi dengan kecantikan dan keindahan sungainya yang begitu jernih membuatkan semua peserta RAKAN TACS '05 ingin kembali semula ke kampung tersebut. Semoga hubugan yang terjalin sepanjang program anak angkat ini akan terus berkekalan selama-lamanya. "Budi Ditabur, Kasih Disemai" yang menjadi moto program ini telah berjaya mencapai matlamatnya. Disediakan oleh: Abdul Shahid bin Abu Bakar Pengarah Program Khidmat Pendidikan & Khidmat Masyarakat Terengganu Academic & Community Service 2005 (RAKAN TACS ’05) Tel : 019-7054056 e-mail : bm020303@siswa.utm.my
Lampiran:Tiada rekod