Kategori:ARTIKEL
 

Pihak kerajaan negeri akan berusaha dan sentiasa berusaha untuk meletakkan seni muzik gamelan sebagaimana sepatutnya. Selain memperuntukkan sejumlah wang yang agak besar bagi menganjurkan program seumpama program festival pada malam ini, kerajaan negeri juga melalui badan akademik dan seninya seperti Akademi Seni Negeri ( ASENI ) dan Briged Seni Negeri telah merangka beberapa modul yang sedemikian rupa bagi melatih dan melahirkan bakat-bakat baru serta melahirkan pakar-pakar yang tersohor dalam bidang kesenian gamelan ini. Kerajaan Negeri akan sentiasa mengadakan perbincangan dan kerjasama dua hala dengan pihak Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dan juga dengan Kementerian Pelancongan Malaysia bagi mencari jalan bagaimana untuk memantapkan lagi perkembangan bidang kesenian, khususnya seni seni gamelan ini demi untuk memastikan  ada bakat-bakat baru yang bakal menjadi pelapis seni warisan gamelan mendapat pendedahan sewajarnya dari institusi dalam negeri ataupun institusi di luar negeri, khususnya di negara rakan baik  kita, Indonesia.

Kita mahu suatu hari nanti ada anak-anak Terengganu yang menjadi tenaga pengajar gamelan di luar-luar negara sepertimana yang dibuktikan oleh pengamelan dari Indonesia yang telah menjelajah hampir ke setiap ceruk dunia. Ini bukanlah suatu mimpi, tetapi realiti yang mampu kita realisasikan sekiranya kita mempunyai iltizam dan kesungguhan.

 

Lampiran:Tiada rekod