Kategori:AKTIVITI
 

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mempengerusikan mesyuarat Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Turut sama Ketua Pegawai Esekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John (depan, kanan). – BERNAMA

KUALA LUMPUR 31 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menarik pelaburan lebih RM32.7 bilion sejak 2007 sehingga akhir Jun tahun ini, di mana RM12 bilion telah dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama 2012.  Antara pelaburan yang telah dicatatkan antara bulan Januari dan Jun tahun ini adalah pengumuman oleh Gevo Inc. dari Amerika Syarikat untuk membina sebuah loji bioisobutanol pertama di dunia yang menggunakan bahan mentah biojisim bernilai RM 1.65 bilion di Taman Bio Polimer Kertih (KBP), Terengganu.

            Gevo akan mengikut jejak langkah CJ Arkema, sebuah syarikat usahasama antara CJ CheilJedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis, yang akan melabur RM 2 bilion untuk membangunkan sebuah loji boi-metionina yang pertama di dunia di KBP. Kini, ECERDC telah menyiapkan kerja-kerja infrastruktur di tapak kemudahan bio-metionina CJ Arkema di KBP dan pembinaan loji tersebut dijangka bermula pada suku ketiga 2012.

            Pengumuman Gevo itu merupakan salah satu hasil susulan daripada pemeteraian dokumen kerjasama strategik antara Kerajaan Terengganu, ECERDC dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (Biotechcorp) untuk membangunkan kawasan seluas 1000 hektar di KBP untuk pembinaan kompleks biopenapisan yang terbesar di Asia. Kompleks biopenapisan yang terletak di KBP itu merupakan satu mercu tanda utama kerana ia merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang menggunakan bahan mentah selulosa untuk menghasilkan produk terbitan bio seperti karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja dan ramuan suapan aktif. Kompleks biopenapisan ini dijangka menarik pelaburan RM 7 bilion dan keseluruhan projek itu dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (PNK) terkumpul RM 20.4 bilion menjelang 2020 di samping membuka 2500 peluang pekerjaan “hijau” di Malaysia.   

( Sumber : Utusan Malaysia, 01 Ogos 2012 )

http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120801/dn_04/ECER-tarik-pelaburan-RM32.7b-sehingga-akhir-Jun

Lampiran:Tiada rekod