Kategori:Sukan
 

Sukma: Melaka kekal 25 acara

TUAN rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2010, Melaka tetap akan menganjurkan 25 jenis sukan seperti yang diputuskan oleh mesyuarat Majlis Sukan Malaysia pada Julai lepas.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata, ia diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa tertinggi Sukma di Melaka pagi semalam yang menolak rayuan daripada persatuan-persatuan sukan untuk menambah beberapa acara pada temasya itu nanti.

"Sebenarnya dalam menimbang rayuan itu, kami perlu mengambil kira beberapa faktor seperti keadaan ekonomi semasa dan kemudahan infrastruktur yang diperlukan untuk menjalankan acara tersebut," katanya semalam.

Beliau berkata, antara rayuan penambahan acara yang ditolak ialah sukan futsal dan tenis.

"Manakala bagi acara taekwando pula, Persatuan Taekwando Malaysia yang kini berdepan masalah dalaman perlu menyelesaikan permasalahan itu sekurang-kurangnya setahun sebelum kejohanan," katanya.

Menurutnya jika gagal, acara sukan itu tidak akan dipertandingkan di Melaka walaupun ia merupakan sukan wajib yang bertaraf Olimpik.

Pada mesyuarat Julai lepas, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa perubahan pada edisi ke-13 Sukma Melaka dengan 25 jenis sukan dipertandingkan berbanding 31 acara pada Sukma Terengganu Mei lepas.

Dua puluh lima jenis sukan itu terdiri daripada 18 sukan teras (wajib) dan tujuh sukan pilihan iaitu bola jaring, bola keranjang, ekuestrian, tinju, ping-pong, silambam dan petanque.

Ismail Sabri turut menyatakan, pada temasya di Melaka, atlet kebangsaan yang layak menyertai Sukan Olimpik tidak akan dibenarkan bertanding dalam Sukma dan mulai 2012, sukan berkenaan hanya dihadkan kepada atlet berusia 21 ke bawah.

Kosmo

23 Disember 2008

Lampiran:Tiada rekod