Kategori:Sukan
 

KUALA TERENGGANU, 1 April (Bernama) -- Terengganu akan menggunakan khidmat jurulatih dari Thailand bagi membimbing pasukan sepak takraw negeri dalam menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata langkah tersebut selaras dengan matlamat pasukan berkenaan untuk membawa pulang pingat emas pada temasya sukan dwi-tahunan itu.

"Kali pertama kita menggunakan khidmat jurulatih Thailand ialah pada Sukma di Terengganu tahun lepas dan berjaya meraih pingat gangsa. Matlamat kita tahun depan ialah untuk memenangi pingat emas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya memilih jurulatih dari Thailand bagi mempersiapkan pasukan Terengganu kerana negara berkenaan mempunyai ramai jurulatih berkualiti serta berwibawa.

" Tambahan pula, mereka berminat untuk datang dan melatih pasukan Terengganu," katanya.

Mohd Shapian berkata Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) turut memberikan kerjasama dalam mengenalpasti jurulatih tersebut serta membiayai segala perbelanjaannya.

Mengikut perancangan, beliau berkata jurulatih berkenaan akan melatih pasukan Terengganu mulai Julai ini, sehingga berakhirnya Sukma tahun depan.

Katanya pegawai MSNT dan PSTNT akan berlepas ke Bangkok, Thailand dalam tempoh terdekat bagi mengenalpasti jurulatih tersebut.

"Kita turut mendapat kerjasama yang baik daripada pegawai-pegawai persatuan sepak takraw Thailand dalam mencari jurulatih yang diperlukan itu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata PSTNT akan menganjurkan Kejohanan Bawah 21 tahun, bulan depan bagi mencungkil bakat baru untuk mewakili Terengganu pada Sukma 2010.

"Walaupun kita sudah mempunyai barisan pemain Sukma lepas, kita perlu mencari beberapa pemain baru untuk memantapkan pasukan Terengganu bagi menghadapi temasya tersebut," katanya.

-- BERNAMA

Lampiran:Tiada rekod