Kategori:Sukan
 

TERENGGANU meletakkan sasaran untuk melahirkan lebih ramai jaguh sukan dalam tempoh 10 tahun akan datang, bukan sahaja di peringkat negara tetapi juga antarabangsa.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Rosdi Awang berkata, melalui perancangan sukan rapi yang diatur bermula sekarang, beliau yakin Terengganu mampu melahirkan lebih ramai atlet cemerlang yang akan menaikkan nama negara terutama pada Sukan Olimpik.

"Bagi tujuan itu, kita juga akan menghantar jurulatih-jurulatih untuk menjalani kursus di dalam atau luar negara supaya mereka dapat membantu melahirkan juara-juara sukan dari negeri ini," katanya pada sidang media sempena Konvensyen Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata, MSN Terengganu juga tidak menolak jika ada bekas atlet yang layak, ingin menjadi jurulatih sukan di negeri itu kerana dengan pengalaman yang ada, akan memberi kelebihan kepada mereka untuk melatih atlet baru.

Rosdi berkata, dalam masa yang sama MSN Terengganu juga ingin memperkasakan persatuan-persatuan sukan di negeri ini kerana masih ada persatuan bergerak secara 'one man show' ekoran kurang penglibatan daripada mereka yang berkenaan.

"Persatuan itu sendiri seharusnya digerakkan bersama. Ia mesti mempunyai Yang Dipertua, ada Setiausaha, ada ahli jawatankuasa untuk memainkan peranan, sekali gus mampu memelahirkan lebih ramai atlet yang berjaya," katanya.

Sementara itu, konvensyen selama tiga hari itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Mat Razali Kassim di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak.

Konvensyen itu diadakan antara lain untuk merancang dan memberi fokus melahirkan atlet, jurulatih pelbagai bidang sukan untuk tempoh sepuluh tahun akan datang.

Rosdi berkata, MSN Terengganu juga akan menubuhkan jawatankuasa bagi memantau konvensyen yang diadakan itu supaya resolusi yang dihasilkan akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

"Resolusi hasil daripada konvensyen yang diadakan itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk dinilai dan kita berharap kerajaan dapat menerima resolusi berkenaan bagi memajukan sukan di Terengganu dalam tempoh berkenaan," katanya.

 

IHSAN

KOSMO

Lampiran:Papar Fail Lampiran(PDF)