Kategori:Sukan
 

24.1.11, LANGKAWI - Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu, Anuar Manan hampir menjadi juara peringkat pertama LTdL 2011 dan meraih jersi kuning, namun kesilapan pada akhir saingan di Pulau Langkawi semalam menghalang hajat pelumba kelahiran Terengganu itu.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu, hanya mengumpul 14 mata, ketinggalan satu mata di belakang pemenang peringkat pertama dan jersi biru, Andrea Guardini dari pasukan Fernese Vini-Neri pada perlumbaan sejauh 94.3 kilometer dari Dataran Lang ke Kuah itu.

Anuar, 24, meraih 10 mata di dua zon pecutan, tetapi gagal mengekalkan kayuhan bertenaga sehingga ke garisan penamat dan gagal meraih mata pada zon pecutan ketiga.

"Saya berasa kecewa dengan keputusan pada peringkat pertama ini," kata bekas pelumba Geumsan Ginseng itu

"Strategi kami (TSG) hari ini (semalam) adalah untuk menjadi juara peringkat dan pada masa yang sama saya mahu mempertahankan Jersi Biru yang dimenangi tahun lalu.

"Kami hampir memenangi peringkat pertama ini, tetapi kesilapan strategi menghalang kami daripada melakukannya."

Menurut Anuar, pada mulanya dia merasakan bahawa dia sudah mempunyai jumlah mata yang mencukupi untuk memenangi gelaran raja pecut dan membantu rakan sepasukan, Mohd. Harrif Salleh menjadi pemenang peringkat.

Bagaimanapun, Hariff, 22, gagal melakukannya meskipun Anuar telah telah memberikannya laluan untuk memimpin perlumbaan itu sehingga ke garisan penamat di bandar Kuah.

Bagaimanapun, Anuar dan Harrif terpaksa akur dengan kehebatan Andrea, 20, selepas pelumba Itali itu menjadi juara peringkat.

SUMBER

UTUSAN MALAYSIA

Lampiran:Tiada rekod