Kategori:Sukan
 

27.1.11- PELUMBA pasukan Terengganu ProAsia Cycling (TSG), M Shahrul Mat Amin muncul pelumba terbaik negara pada saingan pendakian di peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 bermula di Ayer Tawar ke Cameron Highlands, semalam.

Walaupun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-35, Shahrul melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 43 minit 54 saat di hadapan rakan sepasukan, M Saufi Mat Senan yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-42.

Bagi Shahrul, keputusan itu agak baik buat dirinya kerana terpaksa berhadapan situasi berbahaya akibat hujan turun di sepanjang laluan ke puncak Cameron Highlands.

“Percaturan perlumbaan semalam agak bahaya kerana terpaksa mendaki dan menuruni bukit dalam keadaan hujan dan jalan yang licin.

“Saya cuba sedaya upaya untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik. Untuk esok (hari ini), saya akan cuba mengikut pelumba di hadapan bagi berada di kedudukan lebih baik,” katanya.:

Sementara itu, Jurulatih TSG, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan berkata, setakat ini secara keselu-ruhannya beliau berpuas hati de-ngan keputusan ditunjukkan pasukannya.

“Keputusan semalam agak baik memandangkan laluan licin, jadi saya menasihati pelumba supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan untuk menamatkan perlumbaan.

“Mengenai Anuar (Manan) dan Mohd Harrif (Salleh), kita memang merehatkan kedua-dua pelumba ini supaya mereka dapat mena-matkan pendakian hari ini. Anuar tidak melakukan pecutan di zon pecut untuk mengutip mata supaya dia dapat menyimpan tenaga untuk menamatkan perlumbaan,” katanya.

Perlumbaan peringkat keempat semalam menjadi milik pelumba pasukan Aisan Racing Team, Takeaki Ayabe yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 3 jam 42 minit15 saat, manakala pelumba Le Tua Cycling Team, Libardo Nino Corredor di tempat kedua dan pelumba Azad Universiti Cycling Team, Amir Zargari ketiga.

Kemenangan itu membolehkan Takeaki merampas jersi kuning daripada pelumba Farnese Vini – Neri Sottoli, Andrea Guardini.

SUMBER

SINAR HARIAN

 
 
 

 


Lampiran: