Kategori:Sukan
 

30.1.2011- RAJA pecut 2010, Anuar Manan berazam untuk mempamerkan kayuhan lebih bertenaga pada saingan peringkat kelapan Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 dari Kuala Pilah ke Jasin hari ini.

Anuar, 24, menyuarakan kesungguhan itu selepas dia terpaksa menyerahkan semula Jersi Biru (Raja Pecut) kepada pencabar utamanya, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri Sotttoli.

Pada perlumbaan peringkat ketujuh dari Banting ke Tampin sejauh 149.5 kilometer semalam, Anuar yang mewakili pasukan benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) gagal merealisasikan impian untuk menjadi juara peringkat selepas menamatkan saingan di tempat ke-24.

Lebih malang, pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu juga gagal mengutip sebarang mata pada tiga zon pecutan di Sungai Pelek (44.6 km), Port Dickson (82 km) dan Chembong (124.7 km).

"Hari ini (semalam) saya rasa sangat penat. Berlumba di laluan landai dan beralun sepanjang laluan itu menyebabkan saya kehilangan banyak tenaga terutamanya apabila cuba mengejar kelompok pelumba yang membuat pemecahan.

"Saya juga berasa sedikit kecewa apabila gagal menambah kutipan mata, sekali gus mempertahankan Jersi Biru ini.

"Bagaimanapun, masih ada tiga peringkat lagi untuk dilalui dan jurang mata juga tidak besar. Jadi, saya rasa peluang untuk saya mengejar masih ada.

"Strategi esok (hari ini), saya akan berkayuh bermati-matian dan mengharapkan bantuan daripada rakan-rakan sepasukan dalam usaha memenangi peringkat serta merampas semula Jersi Biru daripada Guardini," katanya.

Anuar berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan perlu lebih berhati-hati untuk menghadapi perlumbaan hari ini kerana peringkat kelapan yang bermula dari Kuala Pilah ke Jasin itu dijangka lebih mencabar.

Selain perlu berdepan laluan landai yang beralun, peringkat perlumbaan itu juga adalah yang paling jauh dalam kalendar LTdL 2011 iaitu sejauh 156.7 km.

Berbanding Anuar, Guardini terus cemerlang apabila sekali lagi mempamerkan kehebatannya untuk menjadi pelumba pertama yang sampai ke garisan penamat, sekali gus yang keempat pada edisi ke-16 tahun ini.

Kejayaan tersebut turut meletakkan pelumba berusia 22 tahun kelahiran Itali itu di kedudukan selesa dalam perebutan Jersi Biru apabila mengumpul 84 mata, 14 mata di hadapan Anuar.

SUMBER

KOSMO 30.1.2011

Lampiran:Tiada rekod