Kategori:Sukan
 

4.2.2011- PEMILIHAN laluan bagi kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) akan ditentukan berdasarkan konsep pembidaan oleh negeri-negeri mulai tahun depan.

Ia tidak lagi ditentukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, konsep pembidaan telah lama diamalkan di luar negara dan ia adalah sebagai langkah menyemarakkan sokongan peminat sukan berbasikal di negara ini.

"Konsep membida supaya negeri mereka dijadikan laluan mungkin satu perkara baru di sini tetapi ia merupakan satu perkara biasa dalam perlumbaan di luar negara seperti Tour de France.

"Sekarang, Scotland membida agar perlumbaan Tour de France melalui negara mereka dan banyak negara juga sudah berbuat perkara yang sama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Kampung Tengah, Kerteh semalam.

Ahmad Shabery berkata, pemilihan laluan untuk LTdL edisi ke-17 tahun depan akan bergantung kepada bidaan dan tawaran yang dibuat oleh negeri.

Katanya, Terengganu merupakan negeri terawal menawarkan diri untuk menjadi laluan perlumbaan itu dengan berjanji akan memberikan sumbangan istimewa.

Justeru, Ahmad Shabery berkata, pihaknya sedang menimbangkan untuk menjadikan Terengganu sebagai sebagai laluan peringkat terakhir dan bukan lagi Kuala Lumpur seperti lazimnya.

LTdL 2011 edisi ke-16 yang berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Selasa lalu, melibatkan 10 peringkat perlumbaan dengan jarak kayuhan sejauh 1,315.4 kilometer serta menawarkan hadiah wang tunai RM1 juta.

Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM17 juta untuk menjayakan edisi tahun ini yang melibatkan peringkat laluan perlumbaan meliputi negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

SUMBER

KOSMO - 4 FEBRUARI 2011

Lampiran: