Kategori:Sukan
 

9.2.2011 -

SELEPAS tampil konsisten pada Kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan lalu, pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) kini meneruskan misi untuk menawan pentas antarabangsa dengan menyertai Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Mumbai di India pada 11 hingga 13 Februari ini.

Tampil pada kejohanan berstatus 1.1 kategori Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu, TSG meletakkan sasaran untuk menduduki kelompok sepuluh terbaik daripada 20 pasukan yang bakal bertanding.

Malah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Ibni Amin Busu juga mengharapkan sekurang-kurangnya seorang daripada enam pelumba TSG yang bersaing pada kejohanan itu mampu berada dalam kedudukan 20 pelumba terbaik.

Menurutnya, Jelajah Mumbai yang merupakan kejohanan kedua disertai TSG sejak ditubuhkan penghujung tahun lalu adalah medan terbaik untuk menguji kemampuan sebenar barisan pelumba negeri.

Katanya, pada Jelajah LTdL lalu, beberapa pelumba dari Terengganu seperti Anuar Manan dan Mohd. Harrif Salleh telah berjaya menempatkan diri dalam kedudukan podium.

"TSG akan diwakili oleh enam pelumba termasuk seorang dari Jepun pada Jelajah Mumbai ini dan mereka adalah pelumba yang tidak beraksi pada Kejohanan LTdL 2011 bulan lalu," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu, semalam.

Antara yang terpilih ialah Yusrizal Usoff, Mohd. Sobri Abdullah, Mohd. Faiz Sharifuddin, Mohd. Nor Amirul Fakaruddin Marzuki, Nor Umardi Rosdi dan Motoi Nara dari Jepun.

Tambah Ibni Amin, pemilihan keenam-enam pelumba ini juga adalah berdasarkan keupayaan dan kekuatan mereka untuk bersaing dalam perlumbaan landai seperti Jelajah Mumbai.

"Mereka tidak beraksi pada LTdL lalu kerana pada kejohanan itu kita telah menyenaraikan pelumba-pelumba yang pakar dalam pendakian seperti Mohd. Shahrul Mat Amin dan Mohammad Saufi Mat Senan.

"Anuar Manan pula yang mempunyai kelebihan beraksi di kawasan landai tidak dapat bersama pasukan TSG ke Jelajah Mumbai kerana sedang beraksi mewakili negara pada Kejohanan Asia di Korat, Thailand," jelasnya.

Jelajah Mumbai akan melibatkan dua peringkat perlumbaan iaitu di Nashik sejauh 170km dan Mumbai 108km.

Sementara itu, Yusrizal yang diberi tanggungjawab selaku ketua pasukan pada kejohanan kali ini yakin dapat menggunakan pengalamannya beraksi pada Sukan Komanwel di India tahun lalu untuk mencatat keputusan terbaik.

"Jelajah Mumbai adalah platform terbaik untuk kami mendapatkan pendedahan terutamanya apabila beraksi bersama pelumba-pelumba terbaik dari Asia dan Eropah.

"Kami harap dapat meraih sekurang-kurangnya satu kedudukan podium bagi merealisasikan sasaran pasukan untuk menempatkan diri dalam kelompok sepuluh pasukan terbaik," katanya.

SUMBER

KOSMO

Lampiran:Papar Fail Lampiran(PDF)