Kategori:Sukan
 

PIALA telah dijulang dan kata mesti dikotakan. Itu yang dilakukan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai menghargai sumbangan para pemain dan pegawai pasukan bola sepak negeri itu yang berjaya membawa pulang Piala FA. Sebagai habuan, Ahmad telah mengumumkan pemberian ‘durian runtuh’ berupa wang tunai sebanyak RM10,000 kepada setiap pemain dan pegawai pasukan ketika meraikan wira-wira skuad Penyu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu kelmarin.

Tidak cukup dengan wang tunai, beliau turut mengotakan janjinya sebelum ini iaitu membawa kesemua pemain dan pegawai pasukan Terengganu untuk siri lawatan ke London.

“Kita cukup berbangga dengan kejayaan pasukan bola sepak negeri yang berjaya membawa pulang Piala FA ke Terengganu buat kali kedua selepas tahun 2000.

“Justeru, lawatan ke London merupakan hadiah istimewa daripada kerajaan negeri kepada mereka dan kita akan serahkan kepada persatuan (PBSNT) untuk mengatur jadual lawatan skuad bola sepak Terengganu ke London.

“Semasa lawatan itu, pasukan Terengganu dijangka mengadakan perlawanan persahabatan dengan dua kelab bola sepak dari Divisyen Dua di sana,” katanya dalam sidang media.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Adzlan Mohd. Dagang; Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Datuk Wan Ahmad Wan Muda.

Dalam pada itu, khabar gembira turut diberikan kepada atlet-atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu yang berjaya memenangi pingat sehingga membantu Terengganu muncul juara buat kali ketiga berturut-turut pada Sukma ke-14, Ahad lalu.

Kata Ahmad, atlet yang memenangi pingat emas akan mendapat habuan sebanyak RM5,000 diikuti RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

“Kita bersyukur kerana Terengganu berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi juara berganda, Piala FA dan Sukma,” ujarnya.

KOSMO

15 Jun 2011

Lampiran: