Kategori:Sukan
 

Kejayaan Terengganu meraih Piala FA dan juara Sukan Malaysia (Sukma) kali ketiga berturut-turut, dapat dicapai hasil kerjasama erat semua pihak dalam memajukan bidang sukan di negeri ini.

Ketua Kontijen Sukma Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda, berkata paling penting bidang sukan di negeri berkembang pesat hasil dana kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada bidang itu setanding dengan sektor lain.

“Kerajaan negeri meletakkan pembangunan sukan di negeri ini setaraf dengan sektor-sektor lain bagi melahirkan atlet-atlet yang cemerlang,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan pasukan bolasepak dan atlet Terengganu yang muncul juara Piala FA dan Sukma ke-14, di Dataran Shahbandar, malam tadi.

Dato’ Haji Wan Ahamad yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), berkata kejayaan yang diraih Terengganu adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Majlis Sukan Negeri, persatuan-persatuan sukan, jurulatih dan ibu bapa atlet.

“Paling penting, atlet sendiri telah berlatih bersunggugh-sungguh bagi memastikan mereka menang dalam acara yang disertai,” katanya.

Beliau berkata, jika kesungguhan mereka berlatih diteruskan, Terengganu akan terus menjadi juara Sukma pada edisi yang akan datang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh, berkata pihaknya akan berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan pasukan Terengganu akan mencapai lebih banyak kejayaan selepas ini.

Beliau berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sendiri banyak memberi dorongan dan sokongan kepada skuad Terengganu sejak awal lagi bagi memastikan ia menjadi juara sekurang-kurangnya bagi satu piala.

“Kemenangan Piala FA merupakan satu sejarah bagi pasukan Terengganu kerana pertandingan akhir antara pasukan kita dengan Kelantan telah diiktiraf sebagai perlawanan akhir terbaik dalam sejarah pertandingan bolasepak Malaysia,” ujarnya.

SUMBER

Unit Komunikasi Negeri

Lampiran: