Kategori:sumbangan
 

Exxonmobil Sumbang RM200,000 Bagi Dua Program Berkaitan Sains Dan Matematik

KUALA TERENGGANU, 1 Julai (Bernama) -- ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (EMEPMI) menyumbang RM200,000 bagi menaja program Saintis Tunas dan menyokong penyertaan kontinjen Malaysia dalam pertandingan International Mathematical Olympiad (IMO).

Pengarah Eksplorasi EMEPMI Mohd Izham Ismail berkata sebagai sebuah syarikat yang bergantung kepada sains dan teknologi, ExxonMobil amat prihatin terhadap keperluan untuk meningkatkan pendidikan sains dan teknologi dalam negara bagi menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kompetetif pada masa depan.

"Sumbangan kami terhadap program ini adalah sejajar dengan usaha kami untuk menjadikan sains dan teknologi lebih menarik. Kami berharap program sebegini dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk menjadi generasi pelapis saintis dan jurutera di masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran dan penyampaian hadiah Program Saintis Tunas anjuran Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan kerjasama ExxonMobil yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Tuan Hj.Mohd Zulkifli Abu Bakar.

Mohd Izham berkata Program Saintis Tunas merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan oleh PSKT dan Upen di bawah program penggalakan sains dan teknologi negeri Terengganu.

Mengenai IMO pula beliau berkata ia merupakan satu pertandingan matematik yang paling berprestij di dunia bagi pelajar peringkat menengah yang berlangsung di Kazakhstan selama 12 hari mulai esok.

Katanya kontinjen Malaysia yang terdiri daripada dua ketua pasukan dan enam pelajar sekolah menengah itu akan bertanding dengan ahli matematik muda dari lebih 100 buah negara di dunia.

Beliau berkata EMEPMI banyak mengadakan program-program pembangunan modal insan, dan antara yang ditajanya ialah Program Sains Tunas, Anugerah Pelajar Cemerlang, Anugerah Guru Unggul, program meningakatkan penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, Anugerah Kewartawanan ExxonMobil-Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) dan sebagainya.

Sementara itu Mohd Izham berkata dari segi kegiatan huluan, EMEPMI mengeluarkan satu perempat daripada minyak mentah dan membekalkan lebih kurang setengah daripada permintaan gas asli negara.

Beliau berkata dalam kegiatan hiliran pula, tiga anak syarikat ExxonMobil iaitu Esso Malaysia Berhad, ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd dan ExxonMobil Borneo Sdn Bhd mengendalikan 560 stesen minyak di negara ini.
Lampiran:Tiada rekod