Kategori:Umum
 

BANGI 20 Okt. – Inovasi dalam bidang pentadbiran dan pengurusan bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan dan menjimatkan masa bahkan mengubah budaya kepada lebih efisien dan produktif.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur berkata, imej negara maju terbentuk disebabkan kerancakan dan peningkatan inovasi dalam pentadbiran dan pengurusan.

“Pengurusan yang berinovatif dapat mengubah pemikiran pekerja sekali gus meningkatkan produktiviti dan membawa imej baru kepada sesebuah organisasi.

“Kelemahan dari segi pentadbiran dalam organisasi akan menyebabkan timbulnya masalah seperti rasuah, produktiviti yang rendah, pengurusan yang tidak cekap, pegawai yang angkuh dan tidak mampu menyelesaikan masalah dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Inovasi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2010 di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JKM , Datuk Meme Zainal Rashid.

Sebanyak 14 kumpulan menyertai Pertandingan Anugerah Inovasi JKM itu yang dibahagikan kepada tujuh kategori.

Anugerah Khas Inovasi dimenangi oleh JKM Negeri Kelantan manakala Anugerah Inovasi Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat pula berpihak kepada JKM Negeri Terengganu. Masing-masing membawa pulang RM2,500.

Bagi kategori Pertandingan Inovasi pula, Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras yang menghasilkan tab mandi bayi mudah alih muncul sebagai johan dan menggondol hadiah RM2,000.

Utusan Malaysia : 21 Oktober 2010

Lampiran:Papar Fail Lampiran(PDF)