Kategori:berita
 

Guna wang pinjaman bayar denda kesalahan syariah

KAMPUNG RAJA - Seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Merbok, Kedah dikatakan terpaksa menggunakan wang pinjaman pengajiannya untuk membayar denda RM2,800 selepas mengaku bersalah melakukan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Penuntut berasal dari sebuah kampung di Kuala Besut itu dijatuhkan hukuman denda tersebut oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam, selepas membuat pengakuan bersalah melakukan perbuatan tidak bermoral itu di sebuah rumah sewa di Kampung Gong Kepas, dekat Kampung Raja pada Mei lalu.

Hakim Syarie Mohd Nazri Yusof turut menjatuhkan hukuman sebulan penjara kepada tertuduh berusia 19 tahun itu jika gagal membayar denda tersebut.

Pertuduhan menyatakan tertuduh ditangkap pada 20 Mei lalu, jam 11 pagi di rumah sewa pasangannya.

Menerusi pertuduhan, tertuduh berdua-duaan bersama seorang wanita dalam sebuah rumah dan setelah disiasat, mereka didapati bukan muhrim, sekali gus boleh menimbulkan syak melakukan perbuatan tidak bermoral dan boleh didakwa mengikut Seksyen 29 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzil) Terengganu 2001 iaitu persediaan melakukan persetubuhan luar nikah yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, dalam serbuan berwaran itu, pegawai penguat kuasa apabila sampai di tempat kejadian mendapati pintu tingkap tertutup sedikit dan pintu utama juga tertutup.

Penguat kuasa mengetuk pintu tetapi selepas seminit pintu tidak dibuka, penguat kuasa menolak pintu utama yang didapati tidak berkunci.

Pendakwa Syarie Wan Abdul Hakim Wan kHairul Anuar yang membaca fakta kes itu memberitahu lagi, sebaik penguat kuasa memasuki rumah berkenaan, didapati tertuduh lelaki dan pasangannya berada di atas kerusi.

Ketika itu tertuduh lelaki memakai seluar pendek (boxer) manakala pasangannya yang berumur 21 tahun dan bekerja di sebuah pasar raya di sini hanya memakai tuala.

Bagaimanapun pasangannya yang beralamat di Kampung Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh Kelantan tidak hadir dalam sebutan kes dan mahkamah mengeluarkan waran tangkap.

Sementara itu barang kes iaitu pakaian kedua-dua tertuduh termasuk seluar dalam dan coli pasangannya turut dibawa ke mahkamah untuk pengesahan bukti.


 

Lampiran:Tiada rekod