Kategori:PENDIDIKAN
 

KUALA TERENGGANU 8 Okt. - Simposium Tahunan Universiti Malaysia Terengganu (UMTAS) Ke-12 dianggap membuka lembaran baharu dengan signifikan tersendiri bagi institusi pengajian tinggi awam itu.

Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, sebagai sebuah universiti komprehensif berfokus iaitu mengkhusus dalam bidang pengajian marin dan akuatik, peranan yang dimainkan UMT kini semakin bertambah dari semasa ke semasa.

"Jadi, keupayaan universiti itu dalam mengendalikan isu-isu semasa yang berkaitan akan teruji sejajar dengan tema simposium kali ini iaitu 'Kemajuan dalam Marin dan Sains Air Tawar'," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Perasmian UMTAS kali ke-12 yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Kementerian Pendidikan, Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Institut Lautan Universiti Barat Australia, Prof. Carlos M. Duarte.

Simposium selama tiga hari bermula hari ini itu dihadiri kira-kira 300 peserta termasuk beberapa peserta dari luar negara antaranya Indonesia, Filipina, Australia, New Zealand dan Oman.

Dalam majlis itu, UMT turut menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) iaitu masing-masing bersama SEDA, Pusat Penyelidikan Fotonik, Universiti Malaya (UM) dan syarikat MECIP Global Engineers Sdn. Bhd.

Memorandum bersama SEDA bertujuan menjalankan penyelidikan bersama dalam membangunkan pemetaan angin sebagai satu sumber tenaga alternatif di negara ini manakala perjanjian bersama Pusat Penyelidikan Fotonik pula merangkumi bidang penyelidikan fotonik terutama dalam sub-bidang telekomunikasi, perubatan dan pembuatan.

Sementara itu, kerjasama dengan MECIP Global Engineers pula melibatkan 'penyelidikan kontrak' untuk membangunkan Sistem Pengurusan Pangkalan Data Maklumat Tetap Tenaga Kerja atau e-ManPower.

Utusan: Utusan Malaysia

Lampiran:Tiada rekod