Kategori:PENDIDIKAN
 

KUANTAN 8 Feb. - Ibu bapa tidak perlu bimbang dengan pelancaran buku teks digital kerana langkah itu bertujuan mendorong pelajar cepat memahami mata pelajaran yang diajar dalam kelas.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, buku tersebut merupakan bahan tambahan untuk memudahkan pelajar mengakses mata pelajaran walaupun ketika bercuti di dalam dan luar negara.

"Kerajaan melaksanakannya untuk membantu dan bukannya membebankan ibu bapa kerana kita melihat dengan adanya buku teks digital membolehkan pelajar belajar di mana-mana sahaja.

"Dengan adanya buku tersebut akan menyaksikan pelajar lebih ke hadapan dalam pembelajaran. Ini satu usaha amat positif dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kita Memberi Mereka Merasa di Rumah Anak Yatim dan Miskin al-Insyirah anjuran Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN) dan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor ICAN UiTM, Prof. Dr. Norsaadah Ismail; Presiden Alumni UiTM, Datuk Zaini Hassan dan Pengerusi Rumah Anak Yatim Perempuan dan Miskin al-Insyirah, Jamaluddin Salleh.

Idris mengulas pelancaran buku teks digital semalam bagi menggantikan buku teks bercetak secara berperingkat seperti dirancang dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Beliau berkata, proses transformasi pendidikan yang dirancang dalam PPPM kini berjalan pada landasan yang betul dan yakin dapat melahirkan pelajar berkualiti setaraf dengan negara maju.

Katanya, buat masa ini kementerian sudah mempunyai jumlah buku teks digital yang sedia diakses oleh pelajar dan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

"Mengenai kemudahan atau infrastruktur seperti jalur lebar dan WiFi pula, perkara itu akan diberi perhatian dan kementerian bekerjasama dengan Bestari.Net dalam membantu mempercepatkan pelaksanaannya ke seluruh negara," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Lampiran:Tiada rekod