Kategori:PENDIDIKAN
 

UALA TERENGGANU 6 Okt. - Chevron Malaysia Ltd. (Chevron) memperuntukkan sehingga RM5,000 kepada wakil dari setiap sekolah rendah dan menengah di negeri ini yang berjaya membentangkan kertas kerja terbaik untuk projek inovatif bagi meningkatkan pembelajaran dalam subjek Sains, Teknologi, Bahasa Inggeris dan Matematik (STEM).

Peruntukan dalam bentuk bahan projek seperti komputer riba, projektor, kad memori, kamus, tablet dan peralatan berkaitan itu diberikan hasil undian yang ditentukan oleh komuniti menerusi laman sosial, Facebook.

Penyerahan peruntukan itu dijangka disempurnakan oleh Pengerusi Chevron Malaysia dan Kemboja, Jeremy Oh Beng Chuan dalam satu majlis di Hotel Primula di sini Rabu ini.

Menurut wakil penganjur, Krishanti Beleya, projek tersebut pertama kali diperkenalkan di Terengganu selepas dilaksanakan di beberapa negeri lain sebelum ini.

"Kita mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada sekolah di negeri ini dan boleh dikatakan lebih 300 sekolah di sini telah mengambil bahagian. Sekolah yang terpilih pula akan diumumkan pada hari berkenaan (Rabu)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Projek Komuniti Caltex dengan kerjasama Yayasan MyKasih itu dilancarkan dalam usaha meningkatkan pembelajaran STEM di sekolah selepas kejayaan program realiti TV Driving Change With Caltex dua tahun lalu.

Sumber: Utusan Malaysia

Lampiran:Tiada rekod