Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, inisiatif terbaharu itu membolehkan golongan sasar memiliki kediaman sendiri pada harga serendah RM20,000 berbanding harga asal sebanyak RM68,000 seunit.

Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah bersetuju memberi subsidi sebanyak RM48,000 bagi tujuan tersebut.

“Daripada jumlah itu, Maidam akan memberi subsidi sebanyak RM30,000 manakala pihak kerajaan negeri pula akan menambah lagi subsidi sebanyak RM18,000 menjadikan harga bagi rumah tersebut RM20,000 sahaja,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Kasih Warga Kemas Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, semalam.

Yang hadir sama isteri Menteri Besar, Toh Puan Halina Zakaria; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) negeri, Samiun Salleh; Pengarah Kemas negeri, Dr. Faridah Mat dan Ketua UMNO Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi.

Ahmad Razif berkata, Maidam kini sedang menyenaraikan dan memilih mereka yang layak untuk membeli rumah berkenaan.

“Kita tidak mengasingkan penempatan golongan miskin ini sebaliknya mereka tinggal di kawasan perumahan bersama masyarakat yang lain agar terus memotivasikan mereka untuk berusaha keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Bayaran ini rasanya adalah sangat berpatutan kerana jika mereka tidak mampu, anak atau waris terdekat perlu memyambung bayaran ansuran bulanan dan rumah itu boleh dijadikan harta pusaka mereka,” katanya.